mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan menambah baik kemudahan parkir di sekitar Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kwasa Sentral dan Kwasa Damansara bagi keselesaan pengguna.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, beliau memahami kebimbangan komuniti setempat berhubung perkara itu, bahkan pernah mengetengahkan isu terbabit kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
“Menteri sedia maklum dengan kekangan first mile dan last mile menjadi faktor utama mengapa penggunaan pengangkutan awam belum dapat dioptimumkan sepenuhnya.
“Justeru, saya akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan bagi mempertimbangkan cadangan menambah kemudahan parkir termasuk kemungkinan pembinaan parkir bertingkat di kawasan sekitar stesen itu.
“Langkah ini dapat membantu mengurangkan masalah kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur dan menghalang kelancaran trafik,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan Harian Metro terdahulu mengenai keluhan penduduk berhubung masalah parkir di kawasan MRT Kwasa Sentral dan Kwasa Damansara, yang turut menyumbang kepada gangguan aliran trafik.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, penduduk boleh mempertimbang penggunaan perkhidmatan van hailing Kumpool ke stesen, yang ketika ini turut menjadi projek perintis Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
“Dengan kadar tambang hanya RM1 setiap perjalanan, perkhidmatan ini mampu menjadi alternatif lebih mudah dan berpatutan bagi pengguna yang memerlukan sambungan dari kediaman ke stesen pengangkutan awam.
“Selain itu, terdapat beberapa perkhidmatan pengangkutan awam alternatif yang sudah tersedia termasuk van awam oleh Kumpool, bas pengantara (feeder bus) di Stesen MRT Kwasa Sentral dan Kwasa Damansara, serta perkhidmatan e-hailing.
“Pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan alternatif ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau juga akan meminta penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh terhadap kenderaan yang menghalang laluan serta mengganggu pergerakan trafik.
“Saya menyeru semua pihak termasuk pengguna jalan raya dan penduduk sekitar bekerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik bagi isu berkenaan.
“Dengan langkah lebih sistematik dan penguatkuasaan efektif, kita dapat memastikan kelancaran trafik serta keselesaan pengguna pengangkutan awam di kawasan Sungai Buloh,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika dihubungi berkata, MBSA akan mengadakan perbincangan khas dengan pihak MRT bagi mengatasi isu kekurangan parkir di kawasan itu.
“Sebenarnya MRT ada sediakan feeder bus yang boleh mengambil penumpang dari beberapa lokasi tetapi tidak mendapat sambutan sangat.
“Jika kenderaan parkir di luar kawasan parkir MRT iaitu melimpah di tepi jalan, ia bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), MBSA boleh mengenakan kompaun atau towing (menarik) kenderaan.
“Namun, setakat ini MBSA belum adakan tindakan penguatkuasaan di situ memandangkan masalah utamanya kekurangan tempat meletak kenderaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd