Najib 'Tok Dalang' skandal kewangan 1MDB – Timbalan Pendakwa Raya

Najib 'Tok Dalang' skandal kewangan 1MDB – Timbalan Pendakwa Raya

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu melalui tindak tanduk Datuk Seri Najib Razak membabitkan urusan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau sememangnya mempunyai kepentingan langsung dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menghujahkan bahawa kepentingan langsung Najib dalam 1MDB disamarkan dengan individu yang sehingga kini gagal dijejaki pihak berkuasa dan watak yang boleh dipersoalkan.

Menurutnya, fakta menunjukkan bahawa Najib dan proksinya ‘menarik tali’ dengan menggunakan pengaruh untuk mendapatkan kelebihan di sebalik tirai 1MDB.

“Jelas sekali, tertuduh (Najib) adalah ‘tok dalang’ itu.

“Mengapa kerajaan begitu berminat dan berusaha sedaya upaya untuk membantu 1MDB dalam semua permohonan pinjaman dan penerbitan bon, akhirnya hanya boleh dijawab dengan melihat siapa pembuat keputusan di Kementerian Kewangan dan juga Perdana Menteri, iaitu tertuduh.

“Tingkah laku tertuduh sepanjang masa material jelas ditunjukkan bahawa dia telah menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan kewangannya sendiri atau kelebihan lain, dan dalam kes ini dari segi kewangan.

“Daripada kronologi kejadian, dapat dilihat bahawa syarikat itu digerakkan oleh tertuduh,” katanya.

Ahmad Akram berkata, Najib yang berjaya menubuhkan 1MDB meletakkan dirinya sebagai pengawal muktamad apabila Artikel 68, 93 dan 117 Memorandum dan Artikel (M&A) 1MDB dipinda pada 11 Ogos 2009.

Menurutnya, ia menjadikan tertuduh sebagai kuasa muktamad dalam melantik serta menyingkirkan pengarah dan memberi kelulusan berkaitan mana-mana pelaburan besar, yang membolehkannya melaksanakan kawalan ke atas 1MDB.

Katanya, kuasa ‘melantik’ dan ‘menyingkirkan’ yang diberikan oleh perlembagaan 1MDB kepada Najib mempunyai kesan menjadikannya selaku pembuat keputusan muktamad dalam syarikat pelaburan itu.

“Tiada (keputusan) penting yang boleh diputuskan oleh 1MDB tanpa input dan kelulusan daripada tertuduh (Najib), tidak ada.

“Keseluruhan episod itu adalah skim yang difikirkan dengan sebaiknya oleh tertuduh yang memerlukan pertimbangan awal di pihaknya untuk melakukan perbuatan rasuah, dengan kepuasan kewangan yang paling utama dalam fikirannya,” katanya.

Ahmad Akram berkata demikian melalui hujahan di akhir kes pendakwaan membabitkan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib.

Bekas Perdana Menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, di sini, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top