nurul_husna@hmetro.com.my
Tiada yang lebih mendamaikan apabila peminat ikan atau hidupan akuatik dapat melihat hidupan peliharaan mereka berenang-renang dalam akuarium.
Lebih-lebih lagi akuarium terbabit dihiasi cantik dengan latar tertentu membuatkan setiap detik menatap hidupan akuatik dalam akuarium itu lebih bermakna.
Sebenarnya dalam aktiviti memelihara hidupan akuatik hiasan, terselit seni menghias akuarium dipanggil akuaskap iaitu gabungan seni menata rias ruang dalam akuarium seperti menata landskap.
Ada konsep atau motif cukup menarik untuk wujudkan latar pada ikan hiasan anda sama ada tema semula jadi, inspirasi Jepun iaitu ‘Iwagumi Layout’ atau ‘The Dutch Aquarium.’
Ketiga-tiga konsep ini mempunyai teknik dan kaedah tersendiri yang memberikan impak baik terhadap ikan yang ditempatkan pada ruang akuarium atau menjadi sudut menarik untuk dihayati sebagai peminat ikan.
Berikut elemen atau ‘prop’ yang biasa digunakan dalam membantu meningkatkan visual dan estetik untuk hidupan akuatik anda.
1. Akuarium
Pemilihan akuarium sesuai dari segi saiz dan bentuk amat penting.
Tipikal untuk visual dan mudah diurus ialah akuarium segi empat tepat yang mana memberi sisi pandang yang menarik dan kemas.
Perlu memilih berkualiti selain visual kaca yang lebih jelas memastikan ia dapat menampung kepadatan hiasan tambahan, air dan ikan mahupun hidupan air tawar yang lain.
2. Tumbuhan akuatik
Ada enam kategori tumbuhan akuatik mengikut ciri-ciri dan fungsi dalam akuarium iaitu ‘background’, ‘midground’, ‘foreground’, ‘floating’, ‘epypites’ dan ‘moses’ serta ‘terresterial.’
Peranan ‘background’ umpamanya, merujuk kepada tumbuhan akuatik yang tumbuh tinggi seperti hygropilla, vallisneria dan lugwia.
‘Foreground’ pula tanaman yang menutup permukaan tapak atau lantai akuarium seperti eleocharis, glossostigma dan hemianthus.
Penting pemilik ikan atau akuatik peliharaan mendalami fungsi dan ciri-ciri tumbuhan akuatik supaya dapat memilih yang sepadan dengan hidupan peliharaan mereka.
3. Elemen ‘hardscape’ (batu dan kayu)
Elemen ini penting dalam membentuk dasar dan latar tatarias dalam akuarium anda.
Selain itu, ia akan membentuk tempat untuk ikan atau hidupan akuatik peliharaan menyorok.
Pemilihan bergantung kepada pilihan tema atau konsep diingini pemilik akuarium.
Ia juga membentuk dasar untuk tempat letak dan susun atur tumbuhan akuatik.
© New Straits Times Press (M) Bhd