am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang lagi mangsa kemalangan di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Persiaran Senawang 1, di sini, Khamis lalu, meninggal dunia pada 7.23 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
Katanya, kematian itu menjadikan keseluruhan tiga remaja maut setakat ini.
“Mangsa adalah penunggang motosikal Honda Vario yang dinaiki bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun.
“Sekarang, tiga yang parah masih dirawat di hospital sama iaitu rakan kepada Aisar Azim dan pemandu serta penumpang Honda Jazz, masing-masing berusia 18 dan 17 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jenazah dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Taman Maqbarak Salimah, Taman Zaitun Indah, dekat Sikamat, di sini. Media pada Jumaat lalu melaporkan dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dikatakan dirempuh kereta Honda Jazz.
Mohamad Hatta dilaporkan berkata, Honda Jazz dipandu lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu, didakwa gagal berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum merempuh dua motosikal.
Dua remaja maut kemalangan, pemilik dashcam belum muncul
Kakak pemandu Honda Jazz sebabkan kematian dua beradik mohon maaf
© New Straits Times Press (M) Bhd