Nahas di Putrajaya: Dua lagi jenazah dituntut keluarga

Nahas di Putrajaya: Dua lagi jenazah dituntut keluarga

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Putrajaya: Dua lagi jenazah mangsa yang meninggal dunia selepas Perodua Viva dinaiki bersama dua individu lain kemalangan berhampiran pusat komersil di sini, hari ini, dituntut oleh keluarga masing-masing, malam ini.

Jenazah Nizasuhana Ujang, 28, dituntut warisnya pada 9.55 malam selepas prosedur bedah siasat selesai dijalankan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Balakong, Cheras, malam ini.

Jenazah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, dituntut ahli keluarganya 10.05 malam dan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya, esok pagi.

Difahamkan, jenazah seorang lagi mangsa, Amizan Sapiie, 27, juga sudah selesai dibedah siasat bagaimanapun belum dituntut oleh warisnya setakat ini.

Terdahulu, jenazah Nurulhuda Ramli, 41, dituntut ahli keluarganya kira-kira 6.40 petang bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak, malam ini.

Urusan bedah siasat berkenaan dilakukan di Jabatan Forensik Hopsital Putrajaya, di sini.

Dalam pada itu, Kakak Muhammad Danial, Nur Fatihah Mohd Nuzi, 26, berkata, urusan pengebumian adiknya akan diuruskan pagi esok dan jenazah akan dibawa pulang ke rumah bapanya di Bestari Jaya, malam ini.

Katanya, mereka adik-beradik akan membantu pengurusan jenazah adik yang akan dilakukan di Masjid Al-Awwabin, Bestari Jaya dan ia turut disifatkan sebagaik hasrat serta bakti terakhir mereka untuk Muhammad Danial yang disifatkan sebagai seorang adik yang baik.

Sementara itu, ibunya, Wan Norfiza Wan Muhammad Kamarudin, 56, berkata, luluh hatinya mendapat khabar duka mengenai anak, Muhammad Danial pada 1 tengah hari sebelum bergegas ke Putrajaya dari Pontian, Johor.

“Arwah memang anak yang baik dan dia selalu mengutamakan saya sebagai ibunya. Setiap dua jam dia akan menghubungi saya, selalu membuat panggilan video,” katanya.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam tadi, sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki masing-masing dua lelaki dan wanita dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis mengesahkan empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan berhampiran susur masuk pusat komersil berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top