am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Seorang lagi mangsa kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 403 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) antara Tanjung Malim dan Lembah Beringin, di sini meninggal dunia, menjadikan dua maut setakat ini.
Mangsa, pemandu lori Mitsubishi Fuso berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia jam 3.10 petang ketika menerima rawatan di Hospital Slim River, Perak.
Sebelum itu, kelindan kenderaan berat terbabit, warga Bangladesh berusia 30 tahun maut di tempat kejadian.
Dua mangsa iaitu pemandu lori Scania, 26, dan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush, 52, cedera, manakala penumpang SUV, 18, tidak mengalami kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung nahas itu jam 1.10 tengah hari.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Toyota Rush bergesel dengan Mitsubishi Fuso dari Utara ke Selatan menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Mitsubishi Fuso itu kemudian bertembung dengan lori Scania dari Selatan ke Utara,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Asri berkata, kesemua kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Media hari ini melaporkan seorang maut manakala empat cedera dalam nahas tiga kenderaan di Hulu Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd