Nafas umum kadar dividen sembilan peratus

Nafas umum kadar dividen sembilan peratus

Putrajaya: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sebanyak sembilan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kadar dividen berkenaan membabitkan enam peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan RM50,000 pertama.

Turut diumumkan satu peratus hibah untuk Akaun Simpanan Biasa Al-Wadiah DPK dengan jumlah keseluruhan komitmen bayaran sebanyak RM12.2 juta.

“Sehingga kini, jumlah aset DPK telah mencapai RM288 juta dengan pelaburan dalam pelbagai sektor kewangan.

“Prestasi ini membuktikan keberkesanan strategi pelaburan DPK serta keupayaan untuk memberikan pulangan yang stabil kepada semua pelabur,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dividen SPKP DPK bagi 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata prestasi kewangan DPK menunjukkan peningkatan yang konsisten setiap tahun dengan keuntungan bersih yang stabil dan agihan dividen serta bonus yang kompetitif.

Menurutnya, Nafas dan DPK perlu terus meneroka peluang pelaburan baharu, mengoptimumkan pengurusan tunai, dan melakukan transformasi digital.

“Nafas dan DPK juga perlu komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, nilai tambah produk, serta memperkasa pemasaran bagi mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan.

Nafas dalam kenyataan sempena pengumuman dividen itu memaklumkan DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM16.2 juta dengan keseluruhan agihan dividen dan bonus sebanyak RM12.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Peratusan agihan pula adalah 76 peratus daripada keuntungan bersih yang memberi manfaat kepada hampir 8,500 pelabur, menurut kenyataan itu.

Pada majlis itu, Pertubuhan Peladang Sarawak diumumkan pemenang utama bagi Kempen Penambahan Pelaburan SPKP-DPK (Go Invest) yang berlangsung dari 1 Julai 2023 hingga 15 Mac 2024.

Bagi pelaburan tertinggi SPKP-DPK, Nafas mendahului senarai pelabur tertinggi melebihi RM3 juta diikuti dengan Pertubuhan Peladang Selangor dan Pertubuhan Peladang Kawasan Hutan Melintang.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor Datuk Abdul Rahman Bakri berkata DPK mempunyai potensi besar untuk meraih keuntungan menyebabkan pertubuhan berkeyakinan untuk melabur dengan jumlah tinggi.

“Kita adalah pelabur kedua tertinggi. Jika dividen lebih tinggi, ia akan berikan impak besar kepada ahli.

“Harapan kita selepas ini, dividen adalah lebih 10 peratus. Pengurusan dana peladang ambil keputusan tingkat keuntungan untuk beri impak terbaik kepada pemegang saham,” katanya.

DPK dilancarkan pada 17 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usaha sama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

Antara projek dibiayai DPK ialah tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian, modal pusingan ternakan ayam dan stesen minyak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top