Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ selepas menerima permintaan tinggi daripada peminat di Malaysia.
Konsert istimewa ini dijadualkan berlangsung pada 16 Mei 2025, jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur.
Selepas kejayaan acara ‘Malam Mendengar’ di Jakarta tahun lalu, Nadin akhirnya membawa konsep eksklusif ini ke Malaysia, menjadikannya sebuah acara wajib bagi peminat setianya.
Menurut Nadin Amizah, persembahan ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu pengalaman yang direka khas untuk membolehkan peminat lebih dekat dengannya melalui muzik dan lirik yang penuh emosi.
“Saya berasa sangat gembira dan terharu, tapi pada masa sama gementar untuk memenuhi ekspektasi peminat di Malaysia,” katanya yang sedang giat mempersiapkan persembahan tersebut.
Lebih istimewa, persembahan kali ini akan menampilkan susunan muzik yang segar dan berbeza daripada penampilannya sebelum ini di Malaysia. Buat pertama kali, Nadin akan mempersembahkan lagu-lagunya dalam gubahan orkestra, memberikan nafas baru kepada karya-karyanya yang sudah begitu dekat di hati peminat.
“Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu untuk menonton persembahan ‘Malam Mendengar’ ini, dan juga menjadi saksi progres yang saya buat sebagai pemuzik dari pertama kali berkunjung ke Malaysia,” tambahnya lagi.
Sementara itu, penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina, menjelaskan bahawa konsert ini lebih daripada sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman yang akan menghubungkan Nadin Amizah dengan peminat dalam suasana yang lebih intim dan eksklusif.
“Kami sangat teruja dapat membawa ‘Malam Mendengar’ ke Kuala Lumpur selepas kejayaannya di Jakarta. Peminat Malaysia sudah lama menantikan peluang untuk merasai pengalaman unik ini secara langsung. Ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu perjalanan muzik yang mendalam dan penuh makna.
“Kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberi pengalaman yang lebih istimewa kepada penonton. Ia juga menjadi peluang untuk mereka melihat perkembangan dan kematangan Nadin sebagai seorang artis,” katanya.
Nama Nadin Amizah bukanlah asing dalam kalangan peminat muzik Malaysia, terutama bagi mereka yang menggemari aliran indie dan alternatif. Lagu-lagunya yang penuh emosi dan puitis sering menjadi siulan, menjadikan konsert ini bukan sahaja membawa perjalanan nostalgia, tetapi juga peluang untuk peminat menikmati keunikan karya-karyanya dalam susunan muzik yang lebih matang dan mendalam.
Tiket bagi ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ telah mula dijual pada 12 Februari 2025 dan boleh dibeli di www.golive-asia.com.