PERSATUAN Rakan Strategik MIHA (MyRSMIHA) menggesa ahlinya dan penyedia perkhidmatan halal meningkatkan kepatuhan terhadap garis panduan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) susulan penarikan sijil halal produk kerana mempunyai DNA babi.
Terdahulu, Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia pada Isnin mengumumkan sembilan produk gula-gula marshmallow, jeli dan gelatin mempunyai DNA babi termasuk sebahagian produk yang memiliki sijil halal.
Susulan pengumuman itu, Jakim mengarahkan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dilakukan bagi memeriksa kehadiran produk terbabit di pasaran tempatan.
Jakim turut mengarahkan pengimport yang berkaitan untuk menghubungi pihaknya dan mengambil tindakan menarik balik produk berkenaan di pasaran Malaysia.
Sehubungan itu, Presiden MyRSMIHA, Ustaz Elyas Harun menggesa ahlinya dan penyedia perkhidmatan halal untuk meningkatkan tahap kepatuhan dan sentiasa mengikuti garis panduan yang ditetapkan Jakim serta mengemas kini ilmu dan prosedur yang diguna pakai.
“Sebagai rakan strategik yang terlibat secara langsung dalam proses latihan, advokasi dan pemerkasaan sistem pensijilan halal Malaysia, MyRSMIHA menegaskan kepentingan integriti dan ketelusan dalam keseluruhan rantaian halal.

USTAZ MUHAMAD ELYAS
“Ia termasuk aspek pemilihan pembekal, bahan mentah, pemprosesan, pelabelan dan pemantauan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, MyRSMIHA juga mengalu-alukan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dan industri bagi memperkukuh mekanisme pemantauan serta pembangunan kapasiti halal yang mampan dan diyakini pengguna.
“Kami juga menyeru semua pihak yang terlibat dalam rantaian import dan pengedaran agar bertindak segera jika terdapat penglibatan produk yang dinyatakan.
“Ia perlu dibuat bagi memastikan pematuhan mutlak terhadap keperluan pensijilan halal Malaysia,” jelasnya.
Ujarnya, isu ini menjadi peringatan penting kepada semua pihak bahawa pensijilan halal bukan sekadar sijil, akan tetapi ia merupakan satu amanah yang berkait rapat dengan keyakinan pengguna, keselamatan makanan dan tanggungjawab syariah.

PILIHLAH produk makanan dan restoran yang mempunyai sijil halal.
“MyRSMIHA kekal komited untuk terus menyokong usaha Jakim dan pihak berkuasa dalam memelihara integriti sistem halal negara, serta memperkukuhkan peranan sebagai pemangkin kepada industri halal yang diyakini, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” katanya.
Senarai produk boleh disemak menerusi https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers.