PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan terus memperkukuh dan memperluaskan aspek penguatkuasaan dalam pelbagai sektor berkaitan.
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia bagi memastikan kepentingan undang-undang di bawah akta berkaitan persaingan sentiasa dihormati.
“MyCC akan sentiasa memperkasa ekosistem persaingan sihat di Malaysia.
“Seperti yang kita sedia maklum apabila kita bersatu dalam memperjuangkan prinsip persaingan yang adil, manfaatnya akan sampai kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya semasa berucap dalam Majlis Advokasi Aidilfitri MyCC 2025 di sini hari ini.
Lebih 500 pengunjung hadir majlis itu antaranya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali.
Sementara itu, Idrus turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan Seri Cheras sebagai sekolah angkat MyCC.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“MyCC telah pun memulakan beberapa inisiatif dan merancang pelbagai cadangan jangka masa panjang, termasuk bantuan kewangan, program motivasi, program lonjakan saujana dan pelbagai lagi usaha bermanfaat di masa akan datang, “jelasnya. – UTUSAN