am@hmetro.com.my
Shah Alam: Muzium Sultan Alam Shah terletak di Seksyen 14, di sini, akan dibuka secara rasmi kepada umum pada 8 Februari ini, selepas tertangguh lima tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan negeri, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pembukaan semula Muzium Sultan Alam Shah adalah inisiatif kerajaan negeri dengan peruntukan RM5.23 juta bagi kerja naik taraf.
“Projek naik taraf muzium ini akhirnya berjaya disiapkan bulan ini selepas tertangguh hampir lima tahun akibat beberapa isu di luar kawalan pihak pentadbiran.
“Penyusunan semula koleksi dan artifak antara faktor kelewatan projek ini kerana ia mengambil masa lebih lama serta memerlukan ketelitian tinggi.
“Setiap koleksi perlu dipamerkan dengan cara yang bersesuaian mengikut suhu, pencahayaan, kaedah peragaan serta teknologi yang digunakan,” katanya pada sidang media Pembukaan Semula Muzium Sultan Alam Shah di sini, semalam.
Borhan berkata, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah proaktif menaik taraf dan memperbaharui muzium ini bagi memastikan ia terus relevan dan menarik untuk pengunjung, disamping menjaga warisan sejarah dan budaya negeri.
“Naik taraf membabitkan tiga galeri utama iaitu Galeri Sejarah, Galeri Adat dan Kebudayaan dan Galeri Alam Semula Jadi.
“Muzium ini turut diberi nafas baharu, dilengkapi dengan kemudahan yang mesra pengunjung seperti mengaplikasi penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI),
interaksi seni, ‘graphic mapping’ dan sistem respon pantas (QR) supaya pengunjung dapat mengakses maklumat dengan mudah,” katanya.
Menurut beliau, proses membaik pulih galeri yang selesai dilaksanakan ini adalah fasa pertama bagi projek naik taraf muzium.
Selepas ini, ia disusuli dengan Pembangunan Laman Kraf yang akan menempatkan kawasan bagi aktiviti dan demonstrasi berkaitan aktiviti beridentiti Selangor seperti telepuk, kelingkan, wau kapal dan Batik Selangor.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor berkata, antara tarikan di muzium ini adalah pameran alam kubur yang dikembalikan semula namun kini dalam bentuk tiga dimensi (3D), pameran warung tahun 60-an, pameran perkahwinan dan diorama gua yang ‘dihidupkan’ semula.
“Muzium ini kini mempamerkan lebih 1,000 bahan pameran termasuk artifak, diorama, model dan replika merangkumi aspek sejarah, kebudayaan, warisan dan 800 spesimen berkaitan alam semula jadi khususnya di Selangor dan di Malaysia secara amnya.
“Muzium dibangunkan lebih 36 tahun lalu ini satu ikon pelancongan dan warisan utama di Shah Alam serta menjadi pusat pemeliharaan sejarah, kebudayaan dan warisan serta institusi pendidikan tidak formal,” katanya.
Orang ramai khususnya di Selangor, digalakkan untuk melawat muzium berkenaan secara percuma sepanjang tiga bulan.
“Bermula Mei 2025, bayaran tiket masuk akan dikenakan bagi memastikan kualiti pameran dan penyelenggaraan muzium dapat dilaksanakan secara efisyen,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd