suliati@hmetro.com.my
DUNIA kanak-kanak, penuh dengan pengembaraan. Mereka bereksperimen dengan perasaan, kebijaksanaan dan kreativiti melalui aktiviti seperti bermain.
Bagi mereka, bermain bukan sekadar hiburan tetapi ia adalah cara tersendiri meneroka dunia, membentuk pemahaman dan mencipta pengalaman baharu.
Menyedari hakikat itulah, Muzium Sains, Seni dan Inovasi Kanak-Kanak (MoSAIC) diwujudkan sebagai ruang untuk memupuk potensi berkenaan.
Menariknya, MoSAIC adalah muzium kanak-kanak pertama di Malaysia yang menginspirasikan anak-anak melalui kreativiti dan permainan.
Membuka pintunya secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Februari lalu, MoSAIC adalah gandingan idea dan usaha yang dibangunkan lebih daripada lima tahun oleh pengasasnya Fiza Zin dan pengasas bersama, Karimah Koh Siow Kien.
Fiza yang juga ketua pegawai eksekutif muzium berkenaan berkata, idea pembangunannya tercetus daripada pengalaman percutian dan mengembara ke luar negara yang mana muzium kanak-kanak sudah dibangunkan di beberapa negara.
“Menerusi muzium ini, ia dapat memastikan kanak-kanak mengalami pendekatan pembelajaran, permainan dan kreativiti yang holistik dan inklusif.
“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak mendapatkan ruang untuk bermimpi, mencipta dan berinovasi. Oleh itu, muzium ini adalah langkah pertama ke arah menjadikan impian itu kenyataan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzium itu baru-baru ini.
Menurutnya, MoSAIC adalah usaha bersama komuniti yang dipimpin oleh pihaknya dan juga dianjurkan melalui sokongan daripada pelbagai sukarelawan.
Majlis perasmian itu disempurnakan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.
Konsep yang direka khas untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun, muzium berkenaan adalah ruang inklusif di mana kreativiti, permainan dan penerokaan bergabung untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi memupuk persahabatan baru dan pengalaman pembelajaran bersama.
Pada masa sama, ia tidak hanya menawarkan persekitaran pembelajaran yang bersifat praktikal, dengan zon interaktif yang direka untuk memupuk rasa ingin tahu, pemikiran kritikal dan ekspresi kreatif ia membawa kanak-kanak satu penerokaan imaginasi yang cukup mengujakan.
Terletak secara strategik di Pusat Bandar Kuala Lumpur, di Presint Sivik dan Warisan, muzium itu mudah diakses melalui pengangkutan awam dan dikelilingi oleh mercu tanda bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Mahkamah Tinggi Lama dan Dataran Merdeka.
© New Straits Times Press (M) Bhd