Mungkin ambil masa lebih 6 bulan bina semula kehidupan lepas banjir

Mungkin ambil masa lebih 6 bulan bina semula kehidupan lepas banjir

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Kami mungkin mengambil masa lebih enam bulan untuk membina semula kehidupan selepas banjir,” kata ibu tunggal, Safiah Abdul Kahar, 63, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini hari ini.

Safiah berkata, dia tidak mampu mengimbas kembali kenangan pahit PPR itu dilanda banjir.

Malah, katanya, ini julung kali penduduk diancam bencana banjir selepas 16 tahun tinggal di PPR berkenaan/

Katanya, dia antara yang terkesan teruk kerana tinggal di tingkat bawah.

“Semua barangan di rumah termasuk kelengkapan dibeli arwah suami sudah rosak dan musnah.

“Memang saya sedih kerana barangan itu kenangan bersama suami, saya gagal menyelamatkannya kerana air naik mendadak.

“Saya tidak mungkin membeli kelengkapan sama kerana ia di luar kemampuan bahkan soal makanan, saya terpaksa berjimat.

“Soal Aidilfitri pula, tiada apa-apa persiapan dilakukan, saya dan jiran juga belum siap membersihkan rumah sepenuhnya,” katanya.

Safiah adalah antara 40 asnaf terpilih untuk menerima baucar membeli-belah bernilai RM150 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry.

Sementara itu, seorang lagi penerima baucer, Tumi Jurimi, 63, berkata dia terputus bekalan makanan beberapa hari akibat kediamannya dilanda banjir.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dibantu jiran yang prihatin.

“Saya berstatus ibu tunggal sejak lima tahun lalu, memang sudah sebati hidup susah.

“Bagi saya, pemberian baucar ini amat bermakna terutama bagi membeli kelengkapan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata dia berharap sumbangan dapat meringankan beban golongan asnaf.

“Ada dalam kalangan mereka umpama sudah jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja menanggung pelbagai ujian atas faktor kesihatan dan kewangan, kediaman mereka pula dilanda banjir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top