Mula dijual di pasaran pada 20 September depan

Mula dijual di pasaran pada 20 September depan

SAN FRANCISCO: Apple memperkenalkan rangkaian teknologi baharu, termasuk iPhone 16 yang hadir dengan kemas kini mengagumkan dalam usaha meyakinkan pengguna.

Syarikat gergasi teknologi itu memaklumkan iPhone 16 akan menjadi model pertama yang dibina khusus untuk kecerdasan buatan generatif, yang membolehkan pengguna mencipta teks dan imej melalui arahan bahasa semula jadi. 

Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perisian Apple, Craig Federighi, berkata, satu ciri kawalan kamera baharu membenarkan ia diakses melalui butang di sisi telefon, selain memberikan pengguna akses kepada kecerdasan visual.

Telefon pintar baharu itu hadir dengan pilihan warna putih, hitam, hijau laut, ultramarine dan merah jambu.

Ia disediakan dalam dua saiz iaitu 6.1 inci untuk iPhone 16 dan 6.7 inci untuk iPhone 16 Plus. 

Selain itu, Iphone 16 juga dilengkapi butang, termasuk butang tindakan yang boleh disesuaikan dari generasi sebelumnya.

Ia juga menambah peluncur kawalan kamera baharu, yang merupakan kawasan kecil yang rata di sisi telefon yang berfungsi dengan sentuhan kapasitif, seperti skrin telefon yang bertindak balas terhadap sentuhan jari.

Seterusnya, iPhone 16 dilengkapi lebar jalur memori sistem 17 peratus lebih tinggi untuk menyokong Apple Intelligence dengan lebih baik, skrin kaca seramik yang dijanjikan 50 peratus lebih tahan lasak, dan 40 peratus GPU yang lebih pantas daripada model sebelumnya.

iPhone 16 baharu akan dijual pada harga $799 (RM 3,483), manakala iPhone 16 Plus bermula pada $899 (RM 3,919) dan iPhone 16 Pro merupakan model lebih tinggi daripada iPhone 16, menampilkan lebih banyak ciri AI.

Barisan iPhone 16 Pro lebih besar sebanyak 0.2 inci berbanding model tahun lalu dengan Pro asas adalah 6.3 inci dan Pro Max adalah 6.9 inci.

Ia membolehkan pengguna melihat dan melakukan lebih banyak perkara pada paparan dan peranti itu termasuk sempadan paling nipis setakat ini. 

Iphone 16 Pro juga menampilkan tempoh hayat bateri paling lama dalam mana-mana iPhone setakat ini, dan hadir dalam empat warna iaitu titanium putih, titanium gelap, titanium semula jadi, dan titanium berwarna coklat gurun.

Pra tempahan bagi kedua-dua iPhone 16 dan iPhone 16 Pro boleh dibuat pada Jumaat ini dan dijual di kedai bermula 20 September. -AGENSI