Muka remaja 'koyak' motosikal terlanggar Myvi

Muka remaja 'koyak' motosikal terlanggar Myvi

am@hmetro.com.my

George Town: Remaja lelaki berusia 15 tahun parah di bahagian muka selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Lebuh Farquhar, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal Honda Vario dari arah Lebuh Light menghala ke Lebuh Farquhar.

Mangsa dipercayai terlanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang berhenti di bahu jalan.

Berikutan itu, mangsa mengalami cedera parah di muka manakala pemandu wanita berusia 49 tahun tidak mengalami cedera.

Rakaman video mengenai kejadian yang memaparkan kecederaan parah dialami mangsa turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian, namun belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kereta.

“Mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang ( HPP).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1957,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa sudah dihantar pulang ke rumah oleh ibunya selepas sesi persekolahan namun keluar semula tanpa pengetahuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd