am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Mujurlah saya ternampak kepulan asap di jendela rumah sebelah ketika keluar membuang sampah dan segera memanggil isteri serta ibu mentua untuk menyelamatkan diri,” kata Nordin Mat Son, 65, mangsa kebakaran lapan rumah di Kampung Kijang, di sini.
Menurutnya, pada masa sama, dia turut menjerit kepada jiran yang lain supaya keluar menyelamatkan diri kerana bimbang api marak, sementara seorang daripada mereka menelefon bomba.
“Dalam keadaan kalut itu, saya hanya sempat menyelamatkan beberapa perkakas elektrik, manakala harta benda yang lain musnah.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat meskipun hilang tempat tinggal dan buat sementara ini terpaksa menumpang di rumah saudara,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mat Husin Sulaiman, 68, berkata, dia terdengar bunyi letupan yang kuat ketika berehat di ruang bawah rumah.
“Isteri saya yang berada di dalam rumah juga mendengar bunyi letupan itu. Saya kemudian keluar memeriksa kawasan sekeliling dan terkejut apabila melihat kepulan asap tebal ke udara.
“Dengan segera saya minta ahli keluarga menyelamatkan dan hanya sempat mengambil beberapa barangan dan dokumen penting sebelum api marak ke rumah kami,” katanya.
Terdahulu, 31 mangsa tinggal sehelai sepinggang selepas lapan rumah musnah dalam kebakaran yang dilapor pada 4.40 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd