Muhyiddin enggan mohon maaf, saya tiada pilihan selain saman – Guan Eng

Muhyiddin enggan mohon maaf, saya tiada pilihan selain saman – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari mendengar kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terpaksa menyaman Tan Sri Muhyiddin yang enggan memohon maaf selepas didakwa memfitnahnya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu merujuk kepada kenyataan Muhyiddin isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.

Jelas beliau, dirinya tidak pernah membatalkan pengecualian cukai sebuah organisasi kebajikan Islam malah tuduhan itu tidak berasas serta tiada bukti sokongan dokumen.

“Saya mula tindakan saman Muhyiddin (defendan) hanya selepas beliau enggan memohon maaf kepada saya. Ini menunjukkan betapa angkuhnya beliau. Saya telah beri peluang melalui beberapa kenyataan untuk menarik balik dan memohon maaf.

“Tindakan defendan sebenarnya telah menyebabkan reputasi dan imej saya sebagai ahli politik terjejas teruk disebabkan kenyataan fitnah tersebut,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain di sini hari ini.

Guan Eng juga mendakwa, Muhyiddin sebenarnya cuba mengalihkan perhatian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pertuduhan berkaitan Projek Jana Wibawa yang sedang dihadapi olehnya.

Malah kata Ahli Parlimen Bagan itu, tindakan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan melalui Facebook yang mempunyai bilangan pengikut ramai telah dibaca ramai selain komen dan juga liputan media.

Perbicaraan akan bersambung pagi esok.

Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah yang mana laporan berhubung perkara itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama pada 27 Mac lepas.

Kata Guan Eng dalam tuntutannya, kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan berkenaan, apabila ia tidak patut dikenakan cukai. – MalaysiaGazette