MUDA menentang usaha Kerajaan Selangor hidupkan semula projek Lebuhraya PJD Link

MUDA menentang usaha Kerajaan Selangor hidupkan semula projek Lebuhraya PJD Link

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menentang cadangan Kerajaan Negeri Selangor yang seolah-olah membuat pusingan ‘U’ dengan menghidupkan kembali projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, VKK Rajasekaran Teagarajan, daripada awal permulaan projek PJD Link ini, penduduk setempat sudah melahirkan kebimbangan ia akan memberi kesan negatif terhadap keadaan kehidupan dan kualiti hidup mereka.

“Pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim bahawa projek PJD Link yang telah dihentikan akan dipertimbangkan semula telah mengejutkan penduduk dan terasa seperti pengkhianatan oleh Kerajaan Selangor.

“Dua bulan lepas, jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi pengesahan projek itu telah dihentikan kerana pemaju gagal memenuhi beberapa syarat, pengumuman itu sedikit sebanyak memberi kelegaan namun semalam rata-rata penduduk sekali lagi kecewa.

“Bukankah pada kempen pilihan raya negeri Selangor 2023,Kerajaan Selangor telah mengumumkan secara terbuka di Seksyen 17, Petaling Jaya bahawa projek PJD Link telah dihentikan? Jadi mengapa mahu mungkir janji? Projek mega ini hanya bawa kesan negatif kepada masyarakat sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

VKK Rajasekaran Teagarajan,

VKK Rajasekaran yang pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DÜN) Bukit Gasing pada pilihan raya lepas juga mendedahkan antara sebab mengapa projek PJD-Link tidak akan diteruskan berdasarkan laporan penilaian impak.

“Kerajaan sendiri mendapati banyak laporan penilaian impak tidak menepati syarat ditetapkan.

“Adalah lebih baik Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), dan Penilaian Impak Trafik (TIA) yang sebelum ini dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) didedahkan kepada orang ramai.

“MUDA menyeru supaya kerajaan beri keutamaan kepada kebimbangan penduduk berbanding kepentingan pemaju. Kita komited untuk menjadi suara penduduk Petaling Jaya dalam menghalang kembalinya projek ini,” ujarnya.

Berdasarkan perancangan, lebuh raya terbabit akan menghubungkan bahagian utara dan selatan petaling Jaya menerusi Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

Tahun lalu, Kerajaan Selangor membuat keputusan membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya terbabit, berikutan pelan dikemukakan berkaitan laporan penilaian impak didapati tidak menepati syarat ditetapkan.

Namun pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan meminta pemaju lebuh raya terbabit merundingkan semula jajarannya dengan Kerajaan Persekutuan. -MalaysiaGazette