London: Marnick Vermijl membuat penampilan sulung di Manchester United di bawah pengurus legenda Sir Alex Ferguson tetapi kini bergelar sebagai posmen.
Vermijl membuat penampilan sulung dalam Piala Liga menentang Newcastle United pada 2012, di mana dia membantu Red Devils meraih kemenangan 2-1 pada pusingan ketiga.
Namun, dia hanya sempat bermain satu lagi perlawanan untuk kelab itu iaitu dalam pertandingan yang sama apabila United tewas 0-4 kepada MK Dons di bawah pengurus Louis van Gaal pada 2014.
Vermijl menyertai akademi United pada 2010 dari kelab Belgium, Standard Liege, menamatkan tempoh lima tahunnya di kelab itu pada 2015 apabila dia menyertai Sheffield Wednesday.
Tak sampai 10 tahun kemudian, pada usia 32 tahun, Vermijl kini bekerja sebagai posmen dan menceritakan pertukaran kerjaya yang menarik itu kepada Voetbalprimeur.
“Saya sudah muak dengan bola sepak profesional.
“Anda terlalu bergantung kepada jurulatih yang anda miliki. Mencari keseronokan juga adalah faktor besar bagi saya.”
“Sebagai posmen, saya perlu bangun pada pukul empat pagi, tetapi sekarang saya berada di rumah sekitar tengah hari dan boleh mengambil anak-anak dari sekolah setiap hari. Itu adalah satu kemewahan,” kata Vermijl.
Vermijl bermain 11 perlawanan untuk Sheffield Wednesday pada musim 2014-15 dalam Liga Kejuaraan, divisyen kedua bola sepak Inggeris tetapi tidak lama kemudian dia berpindah lagi.
Selepas tempoh pinjaman di Preston North End, dia menyertai kelab itu secara kekal pada 2016, menetap di Deepdale selama tiga tahun sehingga dilepaskan pada 2019.
Kelab profesional terakhir Vermijl ialah pasukan peringkat kedua Belanda MVV Maastricht.
Selepas itu, dia menyertai kelab separa profesional Thes di Liga Ketiga bola sepak Belgium, yang membolehkannya mula menjalani latihan dan bekerja sebagai posmen.
Pemain berusia 32 tahun itu bermain sebagai bek kanan dan memperoleh tujuh caps untuk Belgium U21 semasa kerjaya bola sepak profesionalnya.
Vermijl juga pernah bermain untuk Belgium U17, Belgium U18, dan Belgium U19 masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd