MSN Perak miliki kolam hidroterapi pertama di Malaysia

MSN Perak miliki kolam hidroterapi pertama di Malaysia

Ipoh: Kerajaan Perak memperuntukkan RM1.92 juta bagi pembinaan kolam hidroterapi yang berperanan membantu proses pemulihan atlet secara lebih efektif, di samping meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kemudahan yang dibina pada Januari tahun lalu dan siap sepenuhnya Februari tahun ini adalah yang pertama dibina di peringkat Majlis Sukan Negeri (MSN) di Malaysia.

Beliau berkata pembinaan itu direalisasikan menerusi kerjasama antara Pejabat Kewangan Negeri Perak, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa agensi berkaitan.

“Kemudahan ini mempunyai dua fungsi iaitu kolam panas dan sejuk yang berperanan membantu mempercepatkan proses pemulihan atlet serta meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.

“Selain itu, ia juga membantu mengurangkan tekanan pada sendi dan sesuai untuk atlet yang sedang menjalani proses rawatan serta pemulihan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi MSN Perak dan Penyerahan Geran Bantuan Kepada Persatuan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta lebih 500 tetamu jemputan terdiri daripada kakitangan MSN serta atlet negeri.

Khairudin berkata kewujudan kemudahan itu juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan prasarana sukan yang canggih serta setanding dengan pusat sukan bertaraf antarabangsa.

“Dengan adanya kemudahan bertaraf antarabangsa ini, atlet Perak kini lebih bersedia untuk bersaing, sekali gus mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Khairudin berkata sebanyak RM125,000 diperuntukkan kepada 45 Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) yang bertujuan membantu melancarkan pengoperasian khususnya dalam aspek pentadbiran serta pengurusan.

Beliau berkata sumbangan yang diberikan itu juga secara tidak langsung dapat memperkasa pembangunan sukan, sekali gus memastikan prestasi sukan negeri terus berada pada tahap terbaik serta berdaya saing.

“Diharap peruntukan keseluruhan ini dapat dimanfaatkan secara berkesan berdasarkan perancangan yang rapi ke arah memperkukuh struktur organisasi, membangunkan bakat serta melonjakkan prestasi atlet negeri ke tahap terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top