MPKS terus gempur premis warga asing di Bandar Puncak Alam 

MPKS terus gempur premis warga asing di Bandar Puncak Alam 

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin 

Kuala Selangor: Tindakan berani warga asing menjalankan aktiviti perniagaan tanpa gentar dikenakan tindakan undang-undang mengundang padah apabila digempur Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), kelmarin.

MPKS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengadakan operasi bersepadu di sekitar Alam Perdana, Bandar Puncak Alam, di sini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Katanya, ia membabitkan kekuatan 37 anggota daripada pelbagai jabatan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

“Objektif operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perniagaan tidak sah yang dijalankan warga asing tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Sebanyak lima premis diperiksa dan daripada jumlah itu, tiga dikesan beroperasi secara sah dengan lesen perniagaan, satu tidak berlesen dan satu lagi tidak beroperasi,” katanya, hari ini.

MPKS berkata, tindakan penguatkuasaan kemudian diambil terhadap premis yang melanggar peraturan.

“Kami menarik semula lesen perniagaan dan mengeluarkan notis memberhentikan operasi terhadap dua kedai serbaneka dikendalikan warga Bangladesh.

“Sebuah premis runcit yang dikendalikan warga Myanmar dikenakan kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen, selain disita peralatan perniagaan dan dikeluarkan notis penutupan,” katanya.

Pada masa sama, MPKS berkata pihaknya melalui Jabatan Kesihatan turut mengenakan dua kompaun ke atas premis makanan yang gagal menjaga kebersihan kawasan penyediaan makanan dan pengendali makanan.

Jelasnya, Jabatan Kawalan Bangunan menjalankan semakan berkaitan kelulusan tambahan bangunan manakala Jabatan Pelesenan melakukan bancian dan semakan permohonan lesen. 

SSM pula mengeluarkan kompaun kepada sebuah premis kerana tidak mempamerkan papan tanda dan nombor pendaftaran perniagaan.

“Tindakan bersepadu seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memelihara kepentingan penduduk setempat serta memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, teratur dan mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top