MPHTJ tegas kuatkuasa SOP terhadap kontraktor penyelenggaraan

MPHTJ tegas kuatkuasa SOP terhadap kontraktor penyelenggaraan

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menegaskan bahawa setiap kontraktor yang dilantik perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam setiap kerja penyelenggaraan yang dijalankan.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya telah menetapkan garis panduan ketat kepada semua kontraktor, termasuk keperluan memasang papan tanda keselamatan, kon amaran, serta lampu pada lori penyiraman pokok.

“Setiap syarikat yang mendapat kontrak perlu menghadiri taklimat SOP yang kita anjurkan. Jika mereka gagal mematuhi peraturan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas. 

“Kontraktor yang melanggar SOP akan dikenakan denda serta surat peringatan, dan jika kesalahan berulang sehingga tiga kali, kontrak mereka akan ditamatkan.

“Sepanjang tahun lalu, MPHTJ telah menamatkan kontrak dua syarikat yang gagal mematuhi SOP dalam kerja penyelenggaraan landskap dan kebersihan. Ini membuktikan bahawa kami tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan pematuhan peraturan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Masih Ada Yang Sayang’ di Ayer Keroh, hari ini.

Media pada 7 Mac lalu melaporkan seorang pegawai penguat kuasa Imigresen maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang tarikh kejadian, mangsa, Mohd Fadzli Ramli, 40, yang memandu kereta jenis Toyota Vios meninggal dunia di lokasi selepas kenderaannya merempuh bahagian belakang sebuah lori syarikat penyelenggaraan landskap.

Mengulas mengenai kejadian itu, Sapiah menjelaskan bahawa siasatan mendapati lori berkenaan tidak berhenti di lokasi kejadian, sebaliknya sedang bergerak selepas menghantar pokok ke MPHTJ.

Dalam pada itu, MPHTJ turut memperuntukkan hampir RM200,000 bagi memperindahkan kawasan pentadbirannya menjelang Aidilfitri, termasuk pemasangan pencahayaan dan naik taraf landskap.

Menurut Datin Sapiah, pihaknya telah menghiasi beberapa lokasi utama seperti pintu gerbang Ayer Keroh dan Seri Negeri dengan lampu berbentuk ketupat, bintang serta bulan, selain menambah elemen pencahayaan di jejantas berhampiran Seri Negeri.

“Tahun ini, Melaka akan menjadi tuan rumah Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani peringkat kebangsaan, jadi kita mahu pastikan kawasan MPHTJ lebih ceria dan berseri. 

“Bukan sahaja pencahayaan, tetapi landskap juga akan dinaik taraf bagi memastikan kawasan ini lebih menarik dan memberi keselesaan kepada pengunjung,” tambahnya. – UTUSAN

Scroll to Top