MPHS serbu dua pusat penyembelihan ayam

MPHS serbu dua pusat penyembelihan ayam

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerbu dua pusat penyembelihan ayam di daerah ini menerusi Operasi Tegas, semalam.

Serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bermula jam 3 pagi hingga 8 pagi.

MPHS berkata, operasi turut membabitkan 17 anggota Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), Jabatan Penguat Kuasa dan Jabatan Perancang.

“Untuk lokasi pertama iaitu di Jalan Jenjarum, Bukit Sentosa, didapati premis masih beroperasi walaupun dalam tempoh arahan penutupan di bawah Seksyen 62, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPHS) 2007.

“Ekoran pelanggaran itu, tindakan sitaan diambil terhadap peralatan premis termasuk 11 tong gas, tiga mesin pemprosesan ayam, lima alat penimbang, satu meja keluli dan satu mesin pemotong,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Sementara itu, MPHS berkata, pemeriksaan di premis kedua di Jalan KL-Ipoh, dekat Kuala Kubu Bharu mendapati operasi penyembelihan sudah selesai dan premis dalam keadaan bersih.

Menurutnya, bagaimanapun pemilik premis didapati tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

“JPSPPA mengarahkan pemilik premis untuk memohon lesen perniagaan dan mendapatkan kebenaran bertulis daripada JAS dan LUAS bagi pengesahan kolam takungan dan buangan efluen.

“MPHS akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen dan melanggar arahan pihak berkuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top