lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Ismayuddin Muhammad Yussof, bekas polis bantuan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) yang meninggal dunia akibat sakit jantung, Januari lalu.
Sumbangan hasil kutipan kakitangan dan wang pampasan insurans disampaikan Pengerusi MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid kepada balu Allahyarham, Rahyu Melati Abdul Rahman, 47.
Syed Hussian berkata, Ismayuddin adalah seorang kakitangan yang amat berdedikasi sepanjang 12 tahun berkhidmat dan pemergian beliau amat dirasai.
“Allahyarham berikan 100 peratus komitmen kepada kerja. Kami di sini amat terasa kehilangan beliau kerana setiap hari apabila kita datang kerja, beliau adalah orang pertama yang kami akan jumpa sebelum masuk ke pejabat.
“Beliau sangat amanah dan peramah, setiap tetamu yang datang ke pejabat ini beliau akan layan mereka secara berhemah.
“Saya difahamkan beliau rebah di surau pejabat ketika hendak solat Zuhur pada 1 Januari lalu. Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu keluarga beliau,” katanya.
Sementara itu, Rahyu Melati yang juga suri rumah berkata, dia terharu dengan keprihatinan pihak MPB yang menyantuni dan membantu keluarganya melalui sumbangan berkenaan.
“Allahyarham sebenarnya sangat sayang kepada TV3 dan semua rakan sekerja. Dia sering ceritakan kepada saya mengenai kebaikan kakitangan di sini.
“Pemergian dia terlalu cepat. Dia seorang yang bertanggungjawab bukan saja di tempat kerja, malah rumah pun sama.
“Sumbangan pihak MPB hari ini memberikan sinar kepada keluarga kami terutama kedua-dua anak, Orked Nur Alleesya, 18, dan Jasmine Nur Areesya, 15, yang menjadi harapan keluarga” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Rosli Sabarudin, Pengarah Sumber Manusia Kumpulan MPB, Nor Arzlin Redzwan dan Pengarang Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Azhari Muhidin.
Berkongsi kisah duka, Rahyu Melati berkata, dia menerima kiriman mesej terakhir daripada suaminya yang sedang bertugas sekitar jam 1.20 tengah hari, 1 Januari lalu.
“Pada 1.40 tengah hari, saya terima panggilan pertama daripada pejabat mengatakan Allahyarham pengsan dan kemudian panggilan kedua dari pihak polis meminta saya ke hospital secepat mungkin.
“Kawan Allahyarham beritahu bahawa Allahyarham nak pitam selepas berwuduk di surau, Allahyarham duduk dalam surau sebelum dia pengsan dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Arzlin memaklumkan bahawa semua kakitangan MPB dilindungi oleh insurans berkumpulan.
“Jika ada perkara yang tak diingini seperti kematian, sedikit sebanyak kita dapat membantu waris.
“Allahyarham Ismayuddin adalah pekerja contoh, beliau menyumbangkan khidmat dengan sempurna dan terbaik kepada syarikat selama 12 tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd