hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh transisi kerjaya veteran ATM.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya menerusi TalentCorp menyokong peralihan veteran ATM ke sektor swasta dengan lebih lancar dan produktif.
“Dengan memanfaatkan rangkaian industri dan kepakaran TalentCorp, inisiatif ini membuka peluang yang lebih luas dengan menyelaraskan kemahiran veteran dengan keperluan pasaran, memperkukuh laluan kerjaya, dan menghubungkan mereka dengan bakal majikan.
“Peralihan daripada perkhidmatan tentera ke pekerjaan sivil adalah satu fasa yang kritikal.
“Program Veteran MyWIRA memastikan wira negara kita dapat menyertai tenaga kerja dengan lebih lancar. Dengan adanya sokongan daripada TalentCorp dan pihak industri, kami mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kebolehpasaran veteran dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus dan bengkel strategi program veteran Mywira di Hotel Hiltan, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Thomas Mathew.
Kerjasama menerusi MoU itu bagi memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berstruktur, Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (RPEL) dan penglibatan industri yang lebih luas untuk membuka peluang kerjaya yang lebih besar kepada veteran.
Sementara itu, Adly berkata, Kementerian Pertahanan memberikan komitmen dalam memastikan veteran mendapat akses kepada industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Veteran mempunyai disiplin, kepimpinan dan kepakaran teknikal yang luar biasa. Namun, ramai antara mereka menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan pengalaman ketenteraan mereka ke dalam sektor pekerjaan sivil.
“Dengan kerjasama erat ini kami menyeru lebih banyak majikan untuk mengenali nilai yang dibawa oleh veteran dan memanfaatkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi ini,” katanya.
Katanya, sejak dilancarkan pada Januari tahun lalu, program Veteran MyWIRA membantu veteran ATM beralih ke sektor swasta melalui kerjasama industri dan inisiatif peningkatan kemahiran.
“Sehingga kini, program ini berjaya membantu 49 veteran mendapatkan pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,900 serta membuka 500 peluang pekerjaan dalam sektor Elektronik & Elektrik (E&E), Logistik, dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd