MOTAC cadang penjawat awam Putrajaya sebagai Duta Promosi

MOTAC cadang penjawat awam Putrajaya sebagai Duta Promosi

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada kerajaan agar mengiktiraf dan memobilisasikan penjawat awam di Putrajaya sebagai Duta Promosi atau Jurucakap Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini kerana mereka ramah dan ceria yang mana ia sesuai untuk mempromosikan Putrajaya melalui lisan dan laman media sosial.

“Saya percaya langkah ini mampu memberi impak yang positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat serta membantu mempromosikan konsep Madani yang sangat ditekankan oleh Perdana Menteri.

“Ini kerana program kita pada malam ini (Festival Budaya Putrajaya 2023) bukan sahaja menonjolkan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran, tetapi juga sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai landskap dan persekitaran menarik, selain memiliki seni bina bangunan yang unik dengan identiti tersendiri.

“Sudah tentu, Putrajaya berpotensi untuk terus berkembang dan maju sebagai destinasi pelancongan,” katanya pada Festival Budaya Putrajaya di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu program festival anjuran dengan kerjasama rakan strategik Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Istana Budaya itu diadakan pada Khamis lalu hingga esok.

Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang empat hari program ialah Putrajaya Culture Fun Run & Gathering yang menampilkan acara larian 5km dengan berpakaian tradisonal, persembahan pentas bercirikan tradisional dan kreasi dengan suntikan semangat kemerdekaan, penjagaan seni (art care), pencungkilan bakat, pameran, demonstrasi makanan warisan, penjualan produk kraf serta pertandingan serta kuiz seni budaya dan pelancongan.

Penganjuran Festival Budaya Putrajaya pada kali ini juga menyaksikan satu lagi catatan sejarah tercipta dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran Konsert Mega Dikir Barat & Paluan Rebana berskala antarabangsa pertama diiringi Orkestra Tradisional Malaysia.

Sebanyak lima segmen persembahan dipertontonkan kepada khalayak yang hadir pada malam ini iaitu Paluan Buka Panggung dan Bertabuh, Persembahan Lagu Jogho, Battle Tukang Karut, Lagu Rampaian serta Dikir Kreasi diiringi oleh 230 pemain rebana dan 200 orang awak-awak.

Antara artis jemputan yang memeriahkan konsert mega ini ialah Syamel, Liza Hanim, Bunga Isme, Amsyar Leee, Nadeera serta persembahan tarian-tarian etnik tradisional pelbagai kaum.

Turut menarik perhatian ialah penganjuran Coffee Republic dengan penglibatan 70 gerai vendors pelbagai jenama kopi dan menu pilihan juadah serasi kopi yang dibawa khas oleh Perbadanan Putrajaya.

Terdapat juga pertandingan barista Latte Art Amatur dan pertandingan kopi tarik. – MalaysiaGazette

Scroll to Top