MOT teliti semula SOP penggunaan soket dalam bas

MOT teliti semula SOP penggunaan soket dalam bas

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) penggunaan soket dalam bas berikutan pengangkutan itu tidak mempunyai piawaian itu buat masa ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, menerusi siasatan dijalankan ke atas bas yang menyebabkan kematian remaja lelaki akibat terkena renjatan elektrik dalam pengangkutan itu di Pulau Pinang, minggu lalu mendapati, soket tidak dimasukkan dalam skop pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Untuk bas, memang sekarang tiada piawaian dan memang dalam siasatan kita, soket itu tidak dimasukkan dalam sebahagian daripada pemeriksaan (Puspakom) itu jadi kita akan lihat balik SOP bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) supaya penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu piawaian standard.

“Bagi soket dalam pesawat memang ada piawaian dan perlu dipatuhi syarikat pembuat kapal terbang…tidak perlu bimbang, malah kereta api dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) pun ada soket dan piawaian masing-masing jadi kita jangan panik,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai langkah piawaian keselamatan penggunaan soket dalam pesawat.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai langkah segera memastikan semua bas mematuhi piawaian keselamatan elektrik, Anthony berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan ST untuk melihat keperluan penambahbaikan SOP sedia ada.

“Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memang sudah mengeluarkan satu larangan sementara waktu penggunaan soket elektrik dalam bas sehingga siasatan kes ini selesai dilaksanakan.

“Sementara itu, kita juga ada mendapatkan khidmat nasihat ST dan selepas pasukan khas ini selesai menyediakan laporan insiden kes itu, kalau ada penambahbaikan kita sedia bekerjasama dengan ST,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top