KUALA LUMPUR – Penyerang naturalisasi baharu Kuala Lumpur (KL) City FC Romel Morales berpeluang menyarung jersi Malaysia buat kali pertama apabila dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan.
Pemain berusia 26 tahun berasal dari Colombia itu yang dilaporkan bakal mendapat kerakyatan negara ini dalam tempoh terdekat, bakal bersaing dengan 25 pemain lain disenaraikan ketua jurulatih Kim Pan Gon bagi kem di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya bermula 26 Dis ini.
Morales yang mengumpul keseluruhan 15 gol dalam kempen Liga Malaysia 2023 antara empat pemain naturalisasi dalam senarai skuad Harimau Malaya kali ini, selain rakan sepasukannya di KL City Paulo Josue dan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Endrick Dos Santos dan Mohamadou Sumareh.
Berdasarkan senarai kali ini, Pan Gon mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain dalam skuad yang mencatat dua kemenangan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan lepas.
Selain Morales, tiga pemain baharu tersenarai kali ini adalah dua pemain JDT Mohamed Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa yang merupakan pemain kacukan serta pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee.
“19 pemain diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai di atas (26 pemain). Dua pemain Shahrul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan,” menurut FAM dalam kenyataan hari ini.
Pada saingan Piala Asia 2023 dari 12 Jan sehingga 10 Feb depan, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan pasukan pilihan serta juara dua kali, Korea Selatan pada 25 Jan.
Juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga teratas akan layak ke pusingan 16 terbaik.
Pan Gon menyasarkan untuk membawa Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam penampilan keempat Malaysia di kejohanan bola sepak berprestij Asia itu.
Berikut adalah senarai 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat tersebut: