Kuala Lumpur: ‘Moonlit Hope’ ialah sebuah persembahan drama Bahasa Inggeris yang ditulis dan dipersembahkan oleh murid-murid SMK (FELDA) Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang. Ia diarahkan oleh guru BI, En. Zainul Hakim Shazni Bin Zainul Fuad. Seramai 13 orang murid dari Tingkatan 2 hingga 5 terlibat dalam produksi ini.
Drama ini mengisahkan Iris, seorang pelajar universiti yang menghidapi komplikasi otak yang disebabkan oleh kemalangan kereta semasa dia masih kecil. Untuk mengubatinya, dia dipakaikan dengan Brain Intervention Dimension Machine (BIDM) di kepalanya. Mesin tersebut membawa Iris ke sebuah dimensi lain di mana beliau bertemu dengan seorang jejaka bernama Arjuna. Akan tetapi, masa mereka bersama sangat singkat dan apabila dia sedar, dia mendapati yang dia dan Arjuna menjalani takdir yang sangat serupa.
Drama ini adalah hasil cetusan idea para murid sendiri; ia diinspirasikan daripada filem ‘Imaginur’. Ia asalnya dihasilkan untuk dipertandingkan di Pertandingan Drama Bahasa Inggeris (MBMMBI) Peringkat Negeri Pahang pada Ogos 2023.
Pada peringkat pertama pertandingan, mereka memuat naik rakaman persembahan mereka di YouTube. Mereka kemudiannya disenarai pendek dalam ‘Top 5’ untuk bertanding secara bersemuka di Auditorium JKKN Pahang di Kuantan pada 24 Ogos 2023. Di peringkat akhir pertandingan, mereka mendapat tempat ke-5.
Mereka juga telah berpeluang membuat pementasan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 23 Disember 2023. Pementasan tersebut telah dihadiri oleh pensyarah dan penuntut UM, ibu bapa murid SMK (FELDA) Sungai Koyan, dan orang awam.
Proses Penghasilan Drama
Penghasilan drama ini adalah suatu proses yang panjang dan produktif. Ia hasil usahasama yang mana para murid berdiskusi tentang jalan cerita, watak, dan latar belakang setiap watak.
Setelah draf pertama skrip selesai, ia direviu beberapa kali dalam tempoh seminggu bersama pengarah, En. Zainul Hakim. Ini adalah untuk menjadikan jalan cerita lebih koheren dan mantap.
Setelah itu, mereka memulakan latihan persembahan mereka setiap petang. Mereka melalui proses latihan yang teliti dan komprehensif seperti lontaran suara, ekspresi muka, dan pergerakan badan.
Tambahan itu, mereka mula menyediakan props untuk digunakan dalam persembahan. Props utama ialah mesin BIDM yang dihasilkan dengan menggunakan kadbod.
‘Top 5’ dalam Pahang
Pada 12 Ogos 2023, kumpulan ‘Moonlit Hope’ telah disenarai pendek dalam ‘Top 5’ untuk berentap dalam pusingan akhir secara bersemuka di Kuantan.
Sebagai satu-satunya sekolah FELDA, memasuki senarai ‘Top 5’ ini bukan sesuatu yang mudah. Selain itu, mereka juga menghadapi cabaran dari segi kekangan kewangan untuk ke Kuantan. Keseluruhan perjalanan ke Kuantan selama 3 hari 2 malam sememangnya memerlukan belanja yang besar. Namun, atas sumbangan dan jasa baik pihak sekolah dan beberapa individu, mereka dapat ke Kuantan untuk bertanding dan mengharumkan nama sekolah dan daerah Lipis.
Bertanding dengan sekolah lain khasnya sekolah bandar telah memberikan peluang keemasan dan membuka mata para peserta. Penulis skrip, Nur Zulaikha binti Mohd Azhar (16) berkata, “kami dapat menyaksikan bagaimana sekolah lain menguruskan produksi mereka dan ini membantu kami untuk menambahbaik produksi kami”.
Nur Yumni Musfirah binti Mohamad Ramizam (16), yang memainkan watak utama Iris berkata, “melalui drama ini, saya dapat membina kembali keyakinan saya. Saya sebenarnya mempunyai perasaan takut untuk berada di atas pentas”.
Bagi En. Zainul Hakim pula, membentuk dan mengarah sebuah produksi drama merupakan sebuah “impian menjadi kenyataan”. Katanya, “dari awal lagi, saya tahu ini bukan kerja mudah. Namun, berbekalkan minat saya terhadap drama, dan komitmen murid yang tinggi, kami bersama-sama menjadikannya suatu kenyataan”.
Persembahan ‘Live’ di Universiti Malaya
Pada 23 Disember 2023, kumpulan ‘Moonlit Hope’ diberi peluang membuat pementasan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Program kolaborasi bersama Jabatan Bahasa dan Literasi Pendidikan ini juga menampilkan slot ‘Bicara Alumni’ yang disampaikan oleh En. Zainul Hakim, alumni tahun 2017.
Rata-rata penonton memuji mutu persembahan murid SMK (FELDA) Sungai Koyan. Mereka terutamanya kagum yang murid seusia 14-17 tahun mampu menghasilkan persembahan yang begitu baik.
Prof. Madya Dr. Adelina Asmawi, pensyarah kanan UM menyatakan yang beliau kagum dengan persembahan tersebut. Beliau turut berasa bangga dengan bekas pelajarnya, En. Zainul Hakim yang mampu membawa muridnya ke tahap ini.
Mantan pensyarah UM dan penggiat teater, Dr. Roselina Khir Johari memuji aspek menarik cerita ini. Katanya, “walaupun cerita ini adalah pada masa hadapan, ia menggunakan hero mitos klasik bernama Arjuna untuk menyuntik harapan dalam diri Iris”.
Pengetua SMK (FELDA) Sungai Koyan, En. Mazlienor bin Daud menyatakan perasaan bangga beliau yang anak-anak sekolah FELDA mampu membuat pementasan ke tahap tinggi ini. “Lebih hebat lagi, pementasan dilakukan dalam Bahasa Inggeris”, katanya.
Lawatan ke Teater
Semasa lawatan mereka ke Kuala Lumpur pada 23-24 Disember 2023, selain membuat pementasan di UM, mereka juga telah berpeluang menonton persembahan teater di Panggung Bandaraya DBKL. Persembahan yang berjudul “Nuansa Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu 2” menampilkan persembahan puisi dan sajak daripada Sani Sudin, Pyanhabib, Fairul Pujangga, dan ramai lagi.
Selain itu, mereka juga telah melawat Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). Di sini, mereka belajar tentang pelbagai jenis dewan teater.
Lawatan ke teater ini telah menyuntik perasaan cinta akan teater dan seni dalam diri murid, ia juga menjadikan mereka lebih terinspirasi untuk membuat pementasan yang lebih baik lagi pada masa akan datang.
Malay News
Education Desk