am@hmetro.com.my
Kuantan: Penduduk Pahang khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko dinasihati sentiasa bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac depan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sepanjang tempoh MTL, negeri itu seperti kelazimannya akan dilanda bencana banjir.
“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“InsyaAllah, kerajaan negeri bersama-sama agensi keselamatan yang lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini.
“Semoga kita semua dilindungi Allah SWT daripada sebarang musibah dan malapetaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 November lalu, memaklumkan bahawa MTL 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, mengikut ramalan pihaknya MTL kali akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.
“Misalnya fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Sementara pada Januari dan Februari, episod hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd