Mohon bantuan lori RORO bantu bersih Taman Sri Muda – Utusan Digital

Mohon bantuan lori RORO bantu bersih Taman Sri Muda – Utusan Digital

SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) memohon pemilik lori roll-on-roll-off (RORO), jengkaut dan lori 10 hingga 20 tan bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd. Tahir berkata, setakat hari ini, kerja-kerja pembersihan di kawasan Taman Sri Muda mencapai tahap 35 peratus walaupun sudah seminggu banjir di sana surut dan pihaknya menjangkakan purata antara lima hingga 10 peratus kerja-kerja pembersihan boleh dilakukan setiap hari. 

Katanya, bagaimanapun setakat ini hanya sejumlah 90 lori RORO dan lebih 400 pekerja pembersihan digerakkan di Taman Sri Muda bagi kerja pembersihan pasca banjir. Namun bilangan itu adalah terhad berbanding dengan jumlah kawasan dan sampah yang tinggi di kawasan kritikal itu.

“Di Taman Sri Muda sendiri ada 9,071 kediaman dan 179 kilang dan agak mustahil bagi kita untuk menempatkan satu tong RORO pada setiap rumah kerana KDEBWM sendiri hanya mempunyai 2,200 tong. Bagaimanapun, kami berusaha keras bagi memastikan sampah-sampah ini dikeluarkan dalam kadar segera dan anda sendiri boleh lihat bagaimana kami mengeluarkan sampah dari depan rumah dan meletakkan di empat pusat transit sementara di sini sebelum lori 40 tan kita menghantarnya ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, di sini dan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Kuala Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sejak boleh memasuki Taman Sri Muda pada 25 Disember lalu, pasukannya bekerja sehingga tengah malam bagi memastikan kerja-kerja mengeluarkan sampah dari hadapan rumah penduduk dapat dilakukan dengan cepat.

“Untuk makluman, pembersihan di kawasan Taman Sri Muda telah bermula pada 25 Disember lalu selepas keadaan banjir mula surut dan laluan jalan telah dibuka bagi jentera-jentera pembersihan dan kutipan. Sehingga semalam, sejumlah 3,292 tan sampah pasca banjir telah dikutip dengan jumlah keseluruhan 22,000 tan sampah sepanjang sembilan hari operasi pembersihan pasca banjir dijalankan di Selangor dan bagi kawasan Taman Sri Muda sendiri, kira-kira 5,000 tan sampah telah dibawa keluar setakat ini,” ujarnya. 

Scroll to Top