'Mohd Hamzi dan Mohamad Hakimi adalah anak syurga saya'

'Mohd Hamzi dan Mohamad Hakimi adalah anak syurga saya'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Dianugerahkan anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) bukan sesuatu yang memalukan, sebaliknya ia adalah amanah daripada Allah SWT yang perlu dijaga walaupun berdepan pelbagai kesukaran,” kata Mohd Nor Fezan Husain, 57.

Mohd Nor Fezan berkata, dia dan isterinya, Atiqah Jusoh, 43, tidak pernah mengeluh apatah lagi kecewa apabila anak mereka, Mohd Hamzi, 16, dan Mohamad Hakimi, 19, menghidap penyakit tulang belakang bengkok atau scoliosis sehingga menyebabkan hilang upaya berjalan.

“Walaupun dua daripada lima anak saya dikategorikan ketidakupayaan fizikal, namun saya tidak pernah menganggap mereka sebagai beban, tetapi kurniaan Allah SWT yang tidak ternilai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan di Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (USM-MAIK), baru-baru ini.

Katanya, untuk menguruskan keperluan dua anak istimewanya, dia menghadapi kesukaran dalam rutin harian seperti memandikan dan memberi makan kepada mereka.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada pihak MAIK dan USM atas sumbangan kerusi roda ini yang memudahkan urusan harian dan pergerakan mereka.

“Sebelum ini, saya hanya bergantung kepada satu kerusi roda yang sudah uzur dan digunakan secara bergilir-gilir untuk mengangkat Mohd Hamzi dan Mohamad Hakimi, namun kini mereka masing-masing mempunyai kerusi roda,” katanya.

Dia berkata, Mohd Hamzi dan Mohamad Hakimi dilahirkan normal, namun ketika berusia sembilan tahun, mereka hilang keseimbangan badan untuk berdiri serta kerap terjatuh dan lama-kelamaan tidak lagi mampu berjalan dan hanya boleh mengesot.

“Lebih menyedihkan lagi, penyakit tulang belakang bengkok yang dihidapi menyebabkan berlaku perubahan fizikal apabila bahagian tangan dan kaki membengkok sehinggalah berlarutan ke tulang belakang sekali gus menyebabkan pergerakan mereka terbatas.

“Saya tidak dapat menyembunyikan rasa sedih setiap kali terpandang wajah Mohd Hamzi dan Mohamad Hakimi kerana tidak sanggup melihat mereka menanggung derita sakit,” katanya.

Mohd Nor Fezan berkata, disebabkan penyakit itu juga, kedua-dua anaknya tidak sempat menghabiskan persekolahan berikutan kesukaran bergerak selain tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Mohd Hamzi hanya sempat menikmati alam persekolahan sehingga tingkatan satu, manakala abangnya, Mohamad Hakimi pula di tingkatan empat.

“Masa depan mereka, cuma Allah yang tahu. Saya reda dan terima hakikat kekurangan anak dan selagi hayat dikandung badan, saya mahu terus menumpahkan seluruh kasih sayang kepada mereka,” katanya.

Katanya, bagi menampung keperluan dua anaknya itu, setiap bulan dia perlu menyediakan lebih RM1,000 untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan perubatan yang lain.

“Saya perlu berjimat cermat kerana pendapatan sebagai tukang rumah tidak menentu dengan kadar upah RM70 sehari yang digunakan untuk membeli keperluan Mohd Hamzi dan Mohamad Hakimi serta makan minum kami sekeluarga.

“Baru-baru ini saya ada membuat permohonan bantuan bulanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap ianya dapat diluluskan sekurang-kurangnya boleh meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0311141000024393 atas nama Mohd Nor Fezan Husain atau menghubunginya di talian 019-6227268.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top