Mohd Effendy masih Presiden sah – Jawatankuasa kerja MTUC

Mohd Effendy masih Presiden sah – Jawatankuasa kerja MTUC

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kedudukan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani masih sah di sisi undang-undang.

Jawatankuasa Kerja MTUC memaklumkan, kenyataan Mohd Effendy dilucutkan jawatan adalah tidak berasas sekali gus bercanggah dengan Perintah Penggantungan oleh Mahkamah Rayuan dan arahan rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Ogos lalu.

“Jawatankuasa Kerja MTUC ingin menegaskan bahawa sehingga kini, perbicaraan rayuan masih berlangsung di Mahkamah Rayuan, dengan keputusan pelupusan dijadualkan pada 21 Februari ini.

“Oleh itu, sebarang tindakan pelucutan jawatan atau penggantungan terhadap Presiden MTUC adalah bertentangan dengan perintah mahkamah dan tidak sah di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama dengan 13 ahli Jawatankuasa Kerja MTUC termasuk Effendy dan 11 orang Naib Presiden iaitu Shatiri Mansor, Mohd Khairul Buyang@ Buang, Asman Mohd Nawawi, Nor Hayati Abd Rashid, Mazmir Mohd Amin dan Aminuddin Awang.

Naib Presiden lain ialah Dzulkernain Hassan, Mohd Sazuan Abdul Hadi, Alwi Shakir Abdullah, Basharuddin Harun, Mohd Rais Hafizuddin Adnan dan Setiausaha Kewangan, Wang Heng Suan.

Semalam, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemangku Presiden MTUC, Datuk Dauzkaply Nor Ghazali mengumumkan Mohd Effendy dilucutkan jawatan kerana didakwa melakukan salah laku dalam kesatuan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Kerja MTUC turut mendedahkan bahawa Kamarul Baharin Mansor bukan Setiausaha Agung MTUC kerana tidak lagi menjadi seorang pekerja mahupun pegawai kesatuan sekerja, seperti yang disahkan melalui surat rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bertarikh Mei 2024.

“Namun begitu, beliau bertindak dengan niat tidak baik (malafide) terhadap kepimpinan MTUC dengan mengadakan mesyuarat yang tidak sah dan bertentangan dengan perintah mahkamah.

“Termasuk menggantung Presiden MTUC serta tiga Naib Presiden tanpa alasan yang sah. Kamarul juga mengadakan mesyuarat tidak sah pada November 2024 untuk melucutkan jawatan seorang Naib Presiden serta menggantung Setiausaha Kewangan MTUC.

“Keabsahan tindakan beliau sudah dinafikan oleh RIS menerusi surat rasmi Ogos 2024, yang mengesahkan bahawa semua mesyuarat dan keputusan dibuat adalah tidak sah dan terbatal,” katanya.

Walaupun kedudukan Kamarul sudah terbatal, namun dia turut didakwa menyalahgunakan jawatan berkenaan serta mengendalikan mesyuarat yang tidak sah.

“Mesyuarat itu turut melantik Datuk Mohamad Dauzkaply Nor Ghazali sebagai Timbalan Presiden dan seterusnya Pemangku Presiden MTUC.

“Kamarul juga membuat keputusan yang bertentangan dengan arahan ROS dan Mahkamah Rayuan selain mengeluarkan kenyataan media yang mengelirukan ahli gabungan MTUC serta masyarakat umum,” katanya.

Berikutan itu, dalam menyelesaikan krisis kepimpinan dalam MTUC, Jawatankuasa Kerja itu komited untuk menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan dengan persetujuan pihak plaintif, bagi membolehkan satu Jawatankuasa Bebas ditubuhkan dalam mengendalikan pemilihan secara telus dan adil.

“Keputusan ini dibuat kerana tindakan Kamarul yang gagal mengendalikan Persidangan Perwakilan pada Julai 2022 sehingga menyebabkan kemelut ini berpanjangan.

“MTUC juga tidak mahu kes saman terus berulang akibat salah urus pentadbiran dan pencabulan undang-undang kesatuan serta kita mahu menghormati keputusan ROS yang menegaskan bahawa semua tindakan penggantungan Presiden, Setiausaha Kewangan, serta empat Naib Presiden yang sedang berjalan adalah tidak sah dan berunsur malafide,” katanya.

Katanya, Jawatankuasa Kerja MTUC juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat segala bentuk salah guna kuasa dan pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh Kamarul Mohamad Dauzkaply.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top