Mohamad Al Bukhari dan Mohamad Azizul akhirnya tiba di Madinah selepas 113 hari berjalan kaki

Mohamad Al Bukhari dan Mohamad Azizul akhirnya tiba di Madinah selepas 113 hari berjalan kaki

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas 113 hari berjalan kaki menempuh perjalanan kira-kira 8,000 kilometer (km), dua pemuda dari Bagan Serai, Perak selamat tiba di Madinah, kelmarin dalam misi pengembaraan haji.

Mohamad Al Bukhari Ellia, 27, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, sebelum ini dilaporkan memulakan perjalanan dari Masjid Jamek Kampung Changkat Lobak, Bagan Serai pada 1 Disember tahun lalu merentasi beberapa negara seperti Thailand, India, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu.

Lebih manis, mereka berpeluang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, Madinah.

Menerusi hantaran di Facebook (FB), Ahmad Zahid meluahkan perasaan kagum terhadap semangat luar biasa Mohamad Al Bukhari dan Mohamad Azizul.

“Ketika sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, saya dipertemukan dengan dua orang sahabat, saudara Mohamad Al-Bukhari Ellia dan saudara Mohamad Azizul Abdullah yang berkongsi kisah luar biasa mereka berjalan kaki dari tanah air kita menuju ke Makkah dalam misi menunaikan ibadah Haji 2025.

“Melangkahkan kaki sejauh ribuan kilometer selama beberapa bulan dari Masjid Jamek Changkat Lobak, Bagan Serai menzahirkan ketabahan dan membuktikan keberanian mereka di dalam merealisasikan niat suci untuk mencari cinta Ilahi dan nabi SAW.

“Perjalanan mereka yang sanggup berjalan ribuan kilometer demi meraih reda Ilahi seharusnya menjadi inspirasi. Sejauh mana pula usaha kita dalam mendekatkan diri mencari kasihnya Rabbi? Tepuk dada tanyalah hati,” katanya.

Ahmad Zahid turut berkongsi ayat ke-27 Surah Al-Hajj yang bermaksud ‘Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan dengan menaiki unta yang kurus, datang dari segenap penjuru yang jauh’.

Sementara itu, Mohamad Al Bukhari dalam video dikongsikan di TikTok berkata, dia dan Mohamad Azizul bersyukur akhirnya direzekikan tiba di Madinah dan selesai menziarahi makam Nabi Muhammad SAW.

Dia juga mengambil kesempatan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoa dan menyokong usaha kembara itu.

“Semoga Allah berkati kalian di dunia dan akhirat,” katanya.

Mohamad Azizul turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka sepanjang perjalanan yang panjang itu.

“Terima kasih kepada (mereka) yang membantu kami dari awal sehinggalah sampai ke bumi Madinah, moga Allah berkati rezeki dan bantuan kalian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top