MMA gesa siasatan segera insiden buli doktor di Sabah

MMA gesa siasatan segera insiden buli doktor di Sabah

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung laporan beberapa doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata kelewatan siasatan akan mengganggu perkhidmatan di fasiliti kesihatan yang berkenaan di negeri itu.

Dr Kalwinder turut menegaskan, tindakan yang diambil kerajaan dalam kes itu mesti menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada pembuli bahawa apa juga bentuk buli dalam penjagaan kesihatan tidak akan ditoleransi.

“Jika kakitangan perlu mengambil cuti untuk menyertai siasatan, pengganti sementara yang sesuai perlu diatur. MMA sedia membantu pihak berkuasa jika memerlukan maklumat lanjut.

“Apa yang penting adalah memastikan siasatan yang menyeluruh dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersalah, dan terhadap sesiapa yang didapati melindungi pembuli,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH minggu lalu melaporkan, beberapa doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal apabila dihambur perkataan kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.

Malah, mereka sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional petugas kesihatan terbabit diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.

Pembuli pula bagaikan mempunyai kekebalan apabila tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka, selepas aduan kepada pihak atasan, bahkan ketua jabatan memberi amaran akan menukarkan doktor yang mengadu dibuli ke unit lain.

Susulan itu, Selasa lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang gejala buli dalam kalangan pengamal perubatan, terutama membabitkan doktor.

Beliau mahu mana-mana kakitangan KKM yang pernah mengalami atau tahu mengenai insiden buli dalam kalangan warga kementerian itu untuk melaporkan insiden terbabit, termasuk melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA).

Mengulas lanjut, Dr Kalwinder berkata, kes buli berkenaan sudah dirujuk oleh pihaknya kepada KKM selepas menerima laporan daripada mangsa.

MMA juga meminta semua kakitangan penjagaan kesihatan untuk menggunakan saluran yang ditetapkan seperti SISPAA atau platform Bantuan Doktor MMA bagi melaporkan kes buli.

“Tindakan melaporkan kejadian itu penting untuk memastikan tindakan yang sesuai dapat diambil dan tidak perlu takut untuk tampil ke hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd