MITI tubuh jawatankuasa bebas kaji isu lambakan besi dan keluli dari China

MITI tubuh jawatankuasa bebas kaji isu lambakan besi dan keluli dari China

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jawatankuasa bebas ditubuhkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi membentangkan hasil laporan isu lebihan kapasiti produk dalam industri besi dan keluli terutama dari China.

Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong berkata, isu lambakan sektor besi dan keluli sedang mengalami masalah bukan hanya di Malaysia malah seluruh dunia terutama Asia Tenggara.

Katanya, isu terbabit membimbangkan di waktu China mengalami kelembapan ekonomi terutama industri pembinaan.

“Kapasiti besi dan keluli di Asia Tenggara akan bertambah atau berlipat ganda dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

“Pada 2021, jumlah kapasiti di Asia Tenggara adalah 75 juta tan metrik tetapi berpotensi meningkat 150 juta tan metrik pada 2027.

“Ini membimbangkan tetapi MITI sudah melantik jawatankuasa bebas untuk menyediakan laporan mengenai hala tuju negara menghadapi isu lebihan dalam besi dan keluli,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai perancangan khusus bagi menyelesaikan isu lambakan serta pengeluaran besi dan keluli dari China.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Liew berkata, bagi tempoh antara 2015 hingga 2023, kerajaan menguatkuasa sembilan tindakan anti-lambakan dan tiga tindakan pelindung terhadap produk yang diimport dari China termasuk besi dan keluli, plastik serta bahan binaan yang menyebabkan kemudaratan material atau kecederaan serius kepada industri domestik Malaysia.

“Kerajaan juga sedang menjalankan siasatan anti-lambakan ke atas empat produk besi dan keluli serta plastik yang berkemungkinan disebabkan oleh lebihan kapasiti dari industri pembuatan China.

“MITI juga sedang menyemak semula bertujuan menambah baik Akta 504 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Antilambakan 1994 (Peraturan 1994) selaras dengan amalan perdagangan semasa di peringkat antarabangsa untuk memastikan ekosistem peraturan yang lebih kondusif supaya Malaysia menjadi hub perniagaan mampan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top