Misteri Malam al-Qadr

Kuala Lumpur: Dalam bulan Ramadan, terdapat satu malam yang amat mulia, istimewa dan sangat bernilai buat umat Islam. Ia masyhur dikenali sebagai Lailatul qadar, yang hanya khusus berlaku pada bulan Ramadan sahaja. Malam ini dinamakan sebagai Lailatul qadar kerana pada malamnya, malaikat menulis tiga perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya iaitu qadha dan qadar, rezeki dan ajal bagi setiap orang.

Selain itu, ia juga merupakan satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT, surah al-Qadar,  ayat 3, maknanya: “Malam al-qadr lebih baik daripada seribu bulan”. Di samping itu, malam ini turut menjadi istimewa kerana padanya diturunkan al-Quran. Perkara ini juga dirakamkan dalam surah al-Qadr ayat  pertama, maknanya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul qadar)”.

Namun begitu, tanggal berlakunya lailatul qadar merupakan satu misteri. Tiada siapa yang dapat memastikan malam tersebut walau pelbagai formula dari segi hari, tarikh, awal puasa dan suasana alam pada malam kejadian dan siang hari selepas berlakunya lailatul qadar.  Kebiasaannya, pandangan yang popular menggariskan 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan, lebih-lebih lagi pada malam-malam yang ganjil. Formula ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, maknanya: “Maka sesiapa yang ingin mencarinya (Lailatul qadar), hendaklah dia mencarinya pada 10 malam terakhir (Ramadan)” [HR al-Bukhari]. Dan dalam redaksi hadis yang lain, Baginda SAW bersabda, maknanya: “Carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam ganjil daripadanya (sepuluh malam terakhir)” [HR Muslim]. Berdasarkan dua hadis ini jelas menunjukkan bahawa Lailatul qadar berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan.

Hikmah di sebalik misteri Lailatul qadar ini bertujuan untuk menggalakkan umat Islam supaya menghidupkan kesemua malam di bulan Ramadan lebih-lebih lagi dalam 10 malam terakhir tanpa menfokuskan amal ibadat dan amal soleh pada satu malam khusus. Maka inilah antara hikmah dirahsiakan bilakah berlaku malam Lailatul Qadar secara tepat supaya umat Islam lebih berusaha menghidupkan setiap malam di bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT penuh tulus ikhlas.

Para ulama telah menyarankan beberapa cara untuk menghidupkan malam Ramadhan agar memperolehi Lailatul qadar. Di antaranya adalah:

Pertama, peringkat intensif dengan menghidupkan malam tersebut secara keseluruhannya. Beberapa amalan boleh dilakukan bagi mengisinya, di antaranya solat fardhu dan sunat terawih, solat tahajjud, taubat dan tasbih, membaca al-Quran, beristighfar, menuntut ilmu, memperbanyakkan berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kedua, peringkat pertengahan sekiranya tidak mampu menghidupkan malam tersebut secara keseluruhannya, boleh menghidupkan sebahagian malam tersebut dengan ibadah-ibadah yang disunatkan.

Ketiga, peringkat rendah atau minimum sekiranya tidak mampu untuk menghidupkan keseluruhan atau sebahagian malam, iaitu dengan melakukan solat Isyak secara berjemaah pada malam itu dan melakukan solat Subuh juga secara berjemaah. Inilah tahap amalan yang paling rendah untuk memperolehi lailatul qadar.

Maka inilah tiga tahap beribadah pada malam Lailatul qadar yang dicadangkan oleh para ulama yang boleh dijadikan sebagai panduan dalam menyemarakkan ibadat di malam-malam dalam Ramadan.

Sehubungan dengan itu, terdapat banyak ibadah yang boleh dilakukan untuk menghidupkan malam tersebut. Pertama, menghidupkan malam (qiamullail) dengan melakukan pelbagai rangkaian solat sunat seperti solat sunat tahajjud, taubat, hajat, witir, membaca atau tadarus al-Quran, dan lain-lain. Ini dapat disaksikan melalui sirah Rasulullah SAW yang amat menitik beratkan tentang qiamullail terutamanya pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Perkara ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, maknanya: “Apabila masuk sepuluh malam terakhir (Ramadan), Nabi SAW mengikat kain sarungnya (bersungguh-sungguh dalam ibadah dan menjauhi isteri), menghidupkan malamnya (dengan ibadah), dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk beribadah bersama).” (HR al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan kesungguhan Nabi SAW dalam menghidupkan malam tersebut dengan qiyamullail (bangun malam).

Kedua, memperbanyakkan istighfar, berdoa memohon keampunan dan dibebaskan dari api neraka. Ini kerana malam tersebut merupakan malam yang mustajab untuk berdoa. Sabda baginda SAW, maknanya: “Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” [HR al-Bukhari dan Muslim]. Justeru, jangan melepaskan peluang ini dengan membaca doa-doa yang diajarkan baginda SAW.

Ketiga, bersedekah atau memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Hal ini akan mendapat pahala yang amat besar. Sabda Nabi SAW, maknanya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun” [HR al-Tirmizi]. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kelebihan orang yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa amat besar di sisi Allah SWT.

Tegasnya, umat Islam perlulah memanfaatkan serta menggunakan peluang dan ruang yang diberikan oleh Allah SWT dengan berusaha semaksimum mungkin untuk meraih malam al-qadr tersebut, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir. Jika tidak kemampuan untuk beribadah sepanjang malam, seseorang boleh memilih peringkat pertengahan atau minimum dan jangan mengotori malamnya dengan perkara maksiat dan dosa. Sehubungan dengan itu, umat Nabi Muhammad SAW yang purata umurnya lebih pendek berbanding umat nabi lain, perlu merebut peluang ini dan memanfaatkan malam yang seumpama 83 tahun dan empat bulan beribadah. Justeru pertingkatkan amal ibadat dan amal soleh sama ada dalam jumlah kuantiti dan kualitinya agar dapat meraih lailatul qadar pada tahun ini.

Oleh: Mohamad Aiman Ashraff Mohd Zamri
Mahasiswa Tahun Akhir, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
emel: ashraffaiman523@gmail.com

Scroll to Top