kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), melancarkan kempen Umrah 1,000 Asnaf.
Ia adalah misi syarikat untuk menjelajah ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dalam pencarian calon yang layak untuk ditaja menunaikan umrah secara percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya menganjurkan kempen itu seiring ulang tahun kelima mereka tahun ini dengan memberi balik kepada komuniti.
“Hasrat kami adalah menyediakan perkhidmatan kepada golongan yang kurang diberi perhatian seperti syarikat induk kami, AirAsia (kini Capital A Berhad) tetapi dalam memenuhi pasaran umrah.
“Oleh itu, selepas lima tahun, kami ingin meraikan hakikat bahawa ikhlas.com, pengendali umrah yang diyakini dengan harga yang paling berpatutan dan jaminan kualiti perkhidmatan khusus untuk tetamu Allah SWT,” katanya di majlis pelancaran kempen Umrah 1,000 Asnaf di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad, Datuk Kamarudin Meranun dan Penasihat Komersial ikhlas.com, Datuk Rosyam Nor.
Ikhlas berkata, bagi memacu kempen Umrah 1,000 Asnaf di seluruh negara, pihaknya menyediakan Mercedes S124 300TE klasik 1987 yang digelar ‘Qashwa’ menjelajah ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bagi mencari calon yang layak untuk ditaja menunaikan umrah.
Menurutnya, melalui Qashwa, kenderaan itu akan menjelajah ke seluruh Malaysia meliputi kawasan dalam dan luar bandar bersama barangan keperluan (makanan, pakaian, keperluan asas) untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata, misi Qashwa adalah untuk meraih penglibatan dan menggerakkan komuniti setempat di seluruh negara dalam usaha mengenal pasti calon paling sesuai dan mendapatkan sokongan dari semua pihak antaranya dermawan, entiti korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta dan kerajaan untuk menjayakan kempen ini.
“Untuk permulaan sembilan asnaf sudah terpilih menyertai Umrah 1,000 Asnaf dan 800 sudah memohon.
“Penerbangan pertama dijangka bermula Julai hingga Oktober akan datang dengan jangkaan sekurang-kurangnya 250 asnaf akan dibawa menunaikan umrah dan untuk 1,000 asnaf ini kami jangka ia mengambil masa kira-kira setahun lebih bagi memastikan semua dapat melaksanakan umrah secara berperingkat,” katanya.
Ikhlas berkata, pakej ‘flagship’ syarikat itu bermula serendah RM4,990 yang dilengkapi dengan penginapan, pengangkutan, umrah berpandu mutawif, ziarah dan banyak lagi untuk memenuhi keperluan jemaah.
Selain itu, katanya orang ramai juga boleh menghantar pencalonan melalui Instagram @ikhlasdotcom dengan tanda pagar #IkhlasUmrah1000Asnaf dan bukti visual situasi asnaf dan ikhlas.com akan melawat calon yang disenarai pendek untuk temuduga sebelum memilih penerima tajaan Umrah 1,000 Asnaf.
Dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com adalah platform kembara dan gaya hidup Islam Capital A yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah.
© New Straits Times Press (M) Bhd