rnoraina@hmetro.com.my
Subang Jaya: Mirza Haqimi Mohd Faizal, 23, yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu, sudah ditemui dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menerima makluman mengenai penemuan lelaki terbabit pada 11.47 malam semalam.
“Berdasarkan laporan, lelaki itu selamat pulang ke kediamannya di Pinggiran USJ, kira-kira 11 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada balai polis berdekatan dengan segera.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Mohd Faizal Abdul Aziz merayu anak lelakinya yang hilang selepas kali terakhir dilihat mengambil barang di kediaman keluarganya supaya pulang.
Mohd Faizal, 49, dilaporkan berkata anak keduanya itu merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di Sarawak dan mereka sepatutnya bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kejadian.
Beliau dipetik berkata, anaknya sepatut pulang ke Sarawak menaiki penerbangan dari KLIA namun ketika hari kejadian, dia tidak muncul-muncul dan tidak dapat dihubungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd