Mirra terus memukau tumbangkan pemain nombor satu dunia

Mirra terus memukau tumbangkan pemain nombor satu dunia

Indian Wells: Mirra Andreeva bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dan menjuarai gelaran WTA 1000 Indian Wells, awal pagi tadi, sekali gus meneruskan kebangkitan luar biasa hasil bimbingan jurulatih, Conchita Martinez.

“Mungkin ia berlaku dengan pantas, tetapi saya menyukainya. Jika ia berlaku dengan pantas, saya terima sahaja,” kata Mirra selepas kemenangan yang memastikan dia akan naik ke ranking tertinggi dalam kariernya, iaitu tempat keenam dunia.

Mirra berkata, dia tidak mahu membandingkan dirinya dengan bintang remaja terdahulu, tetapi perbandingan itu tidak dapat dielakkan.

Selepas menjadi juara WTA 1000 termuda dalam sejarah di Dubai bulan lalu, dia menambah satu lagi gelaran elit ke dalam koleksinya.

Pada usia 17 tahun 321 hari, dia muncul juara wanita ketiga termuda di Indian Wells selepas Martina Hingis (17 tahun 166 hari) dan Serena Williams (17 tahun 169 hari).

Bukan sahaja dia menewaskan pemain nombor satu dunia dengan keputusan 2-6, 6-4, 6-3, malah Mirra juga menundukkan pemain nombor dua dunia dan juara bertahan, Iga Swiatek, di separuh akhir.

Ini menjadikannya pemain bawah 18 tahun pertama yang menewaskan dua pemain ranking teratas dalam satu kejohanan WTA sejak Serena Williams menewaskan Lindsay Davenport dan Hingis di Terbuka AS 1999.

Dia berterima kasih kepada pasukan termasuk Conchita – juara Wimbledon 1994 dari Sepanyol – yang mula bekerjasama dengannya selepas tersingkir awal di Indian Wells tahun lalu.

“Sejak awal hubungan kerja kami, saya sudah merasakan ada keserasian yang baik. Saya rasa sangat selesa dengannya,” kata Mirra.

© New Straits Times Press (M) Bhd