zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang pegawai penguat kuasa direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang wanita.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membenarkan lelaki berusia 30-an itu direman bermula hari ini hingga 10 Februari depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Perintah reman itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.
Menurut sumber, suspek dipercayai meminta wang rasuah itu awal bulan ini sebagai balasan untuk tidak meneruskan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan yang dihadapi wanita terbabit.
Katanya, suspek ditahan di pejabatnya di Dungun kira-kira jam 3 petang semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd