MHO mahu dalang penipuan pelaburan hartanah dikenakan tindakan

MHO mahu dalang penipuan pelaburan hartanah dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR – Lebih 500 pelabur di Sarawak terutama penduduk luar bandar berputih mata apabila ditipu sebuah syarikat pelaburan hartanah melibatkan kerugian lebih RM50 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan syarikat pelaburan itu yang telah dikenal pasti itu telah memperdaya mangsa untuk melabur dalam skim hartanah serta membeli rumah.

Pihaknya terpanggil untuk membela nasib penduduk khasnya yang berada di luar bandar setelah diperdaya syarikat berpangkalan di Sibu itu.

“Untuk makluman bukan sahaja mangsanya dalam kalangan rakyat Sarawak tetapi juga individu di Kedah dan Johor sudah menjadi mangsa syarikat ini yang sudah bergiat aktif sejak 2019 lagi. Mereka perangkap mangsa melalui tiga skim.

“Yang pertama, mereka tawar skim pembinaan rumah di atas tanah sendiri, kedua mereka menawarkan untuk mencari tapak dan membina rumah kepada pembeli manakala ketiga mereka menawarkan skim pelaburan berkonsepkan hartanah dengan meminta mangsa membayar dalam jumlah tertentu dan menjanjikan pulangan dividen,” katanya yang berada di Sarawak ketika ini.

Kata Hishamuddin, ketiga-tiga skim itu tidak dilaksanakan walaupun mereka sudah mengutip wang daripada orang ramai yang tertarik dengan tawaran pembinaan rumah serta skim pelaburan yang menjanjikan pulangan menguntungkan.

MHO yang ketika ini sudah menerima 80 aduan rasmi berhubung penipuan itu namun yakin lebih 500 mangsa terlibat turut mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

MHO yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Jelas Hishamuddin, dalam pertemuan itu bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid pihaknya telah memohon tindakan tegas terhadap syarikat terbabit.

“Kita juga telah mohon untuk perkembangan terkini hasil siasatan polis terhadap kes itu kepada pengadu selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah.

“MHO dimaklumkan bahawa pengarah syarikat terbabit yang dikenal pasti dalam kes penipuan itu sudah dituduh di mahkamah di Miri. Dalang ini dituduh atas dua pertuduhan dan polis memaklumkan sebanyak 13 lagi aduan diterima dan 18 kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes itu.

“Pihak berwajib telah beri jaminan untuk lengkapkan kertas siasatan selain akan adanya satu pasukan petugas khas polis kontinjen Sarawak bagi tangani kes ini,” ujarnya.

Menurutnya MHO juga menuntut agar siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420, Seksyen 415 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pecah amanah. – MalaysiaGazette