MGB titik berat teknologi IBS

MGB titik berat teknologi IBS

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB), penyedia solusi pembinaan dan pembangunan hartanah terkemuka serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, menganjurkan majlis roof topping untuk pembangunan Idaman Cahaya 1 di tapak projek U12 Shah Alam, Selangor.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, menandakan penyempurnaan fasa struktur bangunan bagi projek berkenaan.

Hock San berkata, majlis roof topping ini merupakan satu pencapaian penting yang menandakan penyempurnaan kerja pembinaan struktur bangunan.

“Kami berhasrat untuk menyiapkan pembangunan ini mengikut jadual serta memastikan serahan kunci kepada pemilik rumah berjalan lancar sekali gus menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia yang menetap di kawasan Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

MGB menitik berat penggunaan sistem (IBS) konkrit pratuang dalam semua projek pembinaan termasuk Projek Idaman Cahaya 1, di mana kaedah ini mengurangkan tempoh pembinaan sehingga 33 peratus dan kebergantungan kepada tenaga kerja manual sehingga 31 peratus.

Kilang IBS MGB di Nilai dan loji mudah alih di Alam Perdana mampu menghasilkan panel konkrit pratuang IBS untuk 6,000 unit kediaman setiap tahun.

Melalui teknologi itu, MGB telah berjaya menyiapkan lebih daripada 12,000 unit hartanah sehingga kini, dan sebanyak 3,000 unit lagi dalam proses pembinaan.

Pada Ogos tahun ini, MGB telah membangunkan lebih daripada 1,330 unit hartanah di bawah inisiatif Rumah Idaman MBI.

Ini merupakan sebahagian daripada komitmen MGB untuk membina sehingga 10,000 unit Rumah Idaman MBI di Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top