Mesyuarat Menteri Luar ASEAN tumpu isu Myanmar, Laut China Selatan

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN tumpu isu Myanmar, Laut China Selatan

KOTA TINGGI – Malaysia akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Laos selamat lima hari minggu depan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan menghadiri mesyuarat itu berkata, bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN akan hadir tetapi bersama rakan dialog Asean termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Jepun, Australia, New Zealand, India dan United Kingdom.

“Pada tahun ini Laos menjadi Pengerusi ASEAN dan pelbagai topik akan dibincangkan dalam 19 mesyuarat yang akan dihadiri.

“Terdapat 19 masyuarat dalam masa lima hari, tidak termasuk mesyuarat dua hala, antara Malaysia dengan Korea Selatan dan negara ASEAN yang lain.

“Pelbagai perkara akan dibincangkan antaranya mengenai Myanmar dan Laut China Selatan. Laos memberi fokus kepada Perhubungan.

“Selepas selesai, pada bulan Oktober nanti mesyuarat ketua negara ASEAN atau sidang kemuncak Asean, Malaysia akan terima watikah atau obor untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Seri Sayong di Felda Sungai Sayong, Tenggara di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sebanyak 257 mesyuarat telah disusun pada ASEAN 2025 yang tidak tertumpu kepada Kuala Lumpur sahaja.

“Pada tahun depan akan tamat konsep 10 tahun Komuniti ASEAN yang dikemukakan Malaysia. Tahun depan kita akan buat konsep Komuniti Asean 20 tahun bermula 2025-2045,” katanya.

Konsep itu katanya, membawakan bagaiamana mahu jadikan ASEAN sebagai komuniti besar baik daripada segi ekonomi, pembahagian tenaga, infrastuktur jalan dan sebagainya.

“Menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti besar, jadi blok yang punyai penduduk 600 juta, GDP (Gross domestic product) dunia kelima terbesar dan akan jadi GDP keempat terbesar dunia dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

“Asas yang perlu bina untuk masa depan supaya ASEAN akan jadi satu kesatuan negara, tetapi masih lagi kedaulatan masing-masing dan amalkan dasar berkecuali iaitu ASEAN bebas, aman dan berkecuali. Kita hendak lihat juga macam di Laut China Selatan, kebebasan aman berkecuali mestilah tidak mahu ada kuasa lain datang ganggu-gugat keamanan di rantau Asia Tenggara ini,” katanya. – MalaysiaGazette