Mesin layan diri jual kucing peliharaan

Mesin layan diri jual kucing peliharaan

Beijing: Mesin layan diri menjual kucing peliharaan di China, baru-baru ini, mencetuskan perdebatan dalam talian di negara itu.

Oddity Central melaporkan, mesin layan diri itu mula dikesan di bandar sibuk seperti ibu negara dan Shanghai, sejak Mei lalu.

Ketika itu, orang ramai marah kerana kucing dipamerkan dalam bekas lut sinar yang hampir tidak cukup besar untuk ia bergerak.

Menurut laporan oleh beberapa saluran berita China, model perniagaan itu sebenarnya mempunyai sisi lebih gelap.

Di dalam pusat beli-belah besar di Shanghai, China, terdapat rak yang dipenuhi dengan kucing comel, termasuk daripada baka mahal dan spesies kacukan, yang dijual pada harga premium.

Haiwan itu dikatakan diberikan ‘percuma’. Apa yang perlu pelanggan lakukan adalah menghubungi nombor tertera, menandatangani kontrak dan membawa kucing comel itu pulang.

Bagaimanapun, mereka yang mengambilnya akan mendapat invois bulanan untuk makanan kucing, produk untuk penjagaan haiwan itu.

Akhbar Cina Youth Daily baru-baru ini mendokumentasikan kes Yuan, seorang penduduk Shanghai yang jatuh cinta dengan anak kucing baka ‘American Shorthair’ berusia tiga bulan di pusat beli-belah Global Harbour.

Ia sangat comel sehingga dia menandatangani kontrak dan membawa kucing itu pulang, sebelum menyedari ada kos bulanan wajib dibelanjakan.

Dia terpaksa membayar 800 yuan (kira-kira RM492) untuk makanan dan pasir, selama 24 bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top