am@hmetro.com.my
Seremban: Meskipun ramai yang meragui dan menanamkan persepsi negatif terhadapnya, nenek berusia 64 tahun membuktikan dia berjaya membesarkan dua cucunya yang beragama Islam.
Sudah tiga tahun Jasmine Hawa Abdul Nur, 18, dan Roselyn Aisyah Abdul Nur, 16, tinggal dengan neneknya selepas kehilangan ibu pada 2021 akibat Covid-19.
Meskipun berlainan agama, hubungan darah antara V Chandra dengan dua cucunya tidak dapat dipisahkan dan kasih sayang terhadap mereka tiada belah bahagi.
“Ketika mula-mula mereka tinggal dengan saya, ramai memandang serong adakah saya mampu menjaga mereka kerana perbezaan agama kami, malah dua cucu turut menerima kesannya.
“Ketika itu, mereka baru sahaja kehilangan ibu dan terpaksa berhadapan dengan orang sekeliling terutama rakan di sekolah mengenai situasi kami,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Senawang di sini.
Chandra berkata, dia faham mengenai amalan dan ibadah dalam Islam dan menitikberatkan perkara itu terutama mengenai solat dan aspek makanan halal.
“Mereka buat amalan dan ibadah mereka, saya selalu ingatkan dan tegur supaya bersolat. Mereka dengan amalan mereka, saya dengan kepercayaan saya dan tidak ada halangan antara satu sama lain.
“Dari segi pemakanan halal pula, saya rasa mereka tiada masalah kerana saya seorang vegeterian. Malah, saya menyediakan makanan seperti ayam dan daging untuk cucu.
“Jika beli di kedai, saya pastikan kedai berkenaan halal atau restoran Muslim. Malah, mereka sendiri sering bertanya sama ada saya beli di kedai halal atau tidak,” katanya.
Menceritakan kisah bagaimana dua cucunya itu tinggal bersamanya, Chandra berkata, anak perempuannya yang memeluk Islam meninggal dunia pada Ogos 2021.
“Bapa mereka juga tidak dapat dikesan dan ketika itu, mereka hilang tempat bergantung. Sebelum itu, memang hubungan kami baik dan mereka sering berkunjung terutama pada hari sambutan perayaan,” katanya.
Jelasnya lagi, Jasmine Hawa akan menyambung pelajaran di Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada bulan depan, manakala Roselyn Aisyah menuntut di tingkatan empat.
“Saya buktikan mampu besarkan mereka walau berbeza agama. Saya sayangkan mereka tanpa ada sebarang perbezaan dan halangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd