Menyamar polis bawa senjata samun wanita

Menyamar polis bawa senjata samun wanita

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai polis dan turut membawa pistol. Itu tindakan berani dilakukan dua lelaki termasuk seorang pengawal peribadi yang cuba menyamun seorang wanita warga Indonesia di rumahnya di Kepong, di sini, 7 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada wanita warga asing berusia 40 tahun itu yang memaklumkan kejadian berkenaan apabila didatangi dua suspek terbabit pada 11 malam.

Menurutnya, kedua-dua suspek datang ke rumah pengadu dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan rumah namun dicurigai wanita itu dan bertindak menghubungi polis sebelum telefon bimbitnya dirampas suspek.

“Seorang suspek berusia 55 tahun bekerja sebagai pengawal peribadi selama tujuh tahun dan pistol berkenaan adalah milik syarikatnya, manakala seorang lagi berusia 42 tahun adalah penganggur.

“Mereka mendakwa melakukan jenayah itu kerana masalah kewangan dan dipercayai itu kejadian pertama dilakukan. Ketika kejadian mereka tidak memakai ‘vest’ polis cuma mengakui sebagai anggota secara lisan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek di lokasi kejadian pada 8 Disember lalu dan turut merampas sepucuk pistol jenis CZ 75, (10) butir Peluru, sekeping kad lesen senjata api milik sebuah syarikat pengawal keselamatan serta dua telefon bimbit.

“Semakan turut mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sukarno berkata, dalam kes berasingan, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang memeras ugut dengan meminta RM500 sebagai wang perlindungan daripada seorang peniaga gerai di Jalan Sentul Pasar, di sini, 5 Disember lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika pemilik gerai iaitu seorang lelaki sedang membuka gerainya didatangi suspek yang tidak dikenali meminta wang berkenaan dan mengugut akan merosakkan gerainya jika permintaan itu tidak dituruti.

“Suspek kemudian datang semula ke gerai mangsa pada 2.30 petang dan mengambil makanan sebelum beredar tanpa membuat sebarang bayaran. Lelaki itu yang risaukan keselamatan diri dan perniagaan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya menahan suspek yang berusia 25 tahun di Jalan Sentul Pasar pada 8 Disember lalu dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah.

“Suspek melakukan kegiatan itu secara sendirian dan ia juga adalah kejadian pertama berlaku terhadap mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top