Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang memberi teguran keras terhadap kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dimaafkan.
Menteri Perpaduan beri teguran, kesal kejadian seperti itu berlaku
Susulan daripada itu, memetik laporan dari Buletin TV3, Datuk Aaron Ago Dagang meluahkan rasa kesal yang mendalam selepas insiden ini berlaku sekaligus menegaskan bahawa perkara sebegini tidak patut berulang.
“Saya sangat kesal, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana sudah berapa lama kita menggunakan bendera ini, saya rasa semua orang terkejut mengapa sesuatu seperti ini berlaku,” katanya.
Menteri Perpaduan beri teguran, anggap kesalahan tersebut sangat merosakkan perpaduan
Bagi beliau, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara, dan kesalahan seperti ini sangat merosakkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Aaron menegaskan bahawa insiden ini boleh mencetuskan kebimbangan awam dan merosakkan keharmonian masyarakat, sesuatu yang amat dikesali oleh semua pihak.
“Jangan ulang lagi. Kita mahu negara yang sejahtera, damai, stabil demi kemajuan negara,” tegasnya lagi.
Kebimbangan jangka panjang terhadap kesilapan memaparkan bendera yang tidak lengkap boleh memberi kesan yang mendalam kepada perpaduan negara.
Dalam pada itu, Menteri Perpaduan turut menambah bahawa walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh pihak terlibat, tindakan susulan masih perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib untuk memastikan kejadian sebegini tidak berulang.
“Kesalahan ini boleh menjejaskan semangat perpaduan yang selama ini dipupuk dalam kalangan rakyat,” katanya.
Artikel lain: “Kita berbeza, tapi mampu duduk sekali jika saling faham, hormat & terima” -Menteri Perpaduan
Terdahulu, akhbar Sin Chew Daily mendapat perhatian selepas memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapannya sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.
Kejadian tersebut mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat dan menambah keresahan awam.
Pada keesokan harinya, Kwong Wah Yit Poh turut dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setelah memaparkan gambar Jalur Gemilang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya.
Terbaharu, Singapore Lactation Bakes (SLB) turut membuat permohonan maaf selepas memaparkan bendera yang tidak lengkap dalam video pelancaran mereka di Kuala Lumpur.
Sumber: Buletin TV3