Mental kuat, semangat tinggi senjata hadapi Negeri Sembilan FC

Mental kuat, semangat tinggi senjata hadapi Negeri Sembilan FC
Mental kuat, semangat tinggi senjata hadapi Negeri Sembilan FC

Victor (tengah) mengalas tugas berat dalam memastikan motivasi pemain KDA FC berada pada tahap tinggi. Foto KDA FC

MESKIPUN berdepan cabaran kewangan yang masih belum selesai, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap bersedia memberikan aksi terbaik apabila turun menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu ini.

Ketua Jurulatih Interim, Victor Andrag menegaskan bahawa kekuatan mental dan semangat juang pemain akan menjadi senjata utama Sang Kenari untuk terus mencipta keputusan positif dalam perlawanan tersebut.

Menurutnya, walaupun memperoleh tempoh rehat panjang hampir satu bulan pada Februari, namun kekangan seperti kehadiran pemain antara cabaran yang perlu dilalui pasukan kejurulatihan Sang Kenari disebabkan masalah kewangan.

“Memang tidak dinafikan, kami masih dihimpit isu kewangan yang menyukarkan persiapan pasukan.

“Namun, pemain tetap menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam sesi latihan yang dijalankan.

“Kami akan cuba dengan sebaik mungkin dengan pemain yang kami ada. Saya harap pemain dapat meneruskan karakter mereka seperti yang sudah mereka buktikan dalam perlawanan-perlawanan lalu,” katanya.

Jelas Victor, KDA FC menerima tonik tambahan apabila tiga pemain pemain utama iaitu Fayadh Zulkifli, Halim Saari dan Syafiq Ahmad disahkan semakin pulih daripada kecederaan.

Menurutnya kehadiran mereka dijangka mampu memperkuatkan pasukan terutamanya dalam menambah sengat Sang Kenari untuk mengutip mata penuh di Paroi.

KDA FC kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan mengutip 20 mata selepas 17 perlawanan manakala Negeri Sembilan FC di tangga ke-12 dengan sembilan mata selepas 18 perlawanan.

Scroll to Top