Mensik, Aryna fokus Roland Garros

Mensik, Aryna fokus Roland Garros

Paris: Pemain remaja Czech, Jakub Mensik dan juara bertahan Aryna Sabalenka muncul pemenang di Terbuka Miami hujung minggu lalu, tetapi perhatian kini tertumpu kepada musim gelanggang tanah liat di Eropah dengan Roland Garros menjadi sasaran utama.

Bintang Serbia, Novak Djokovic, pula akan cuba memburu gelaran ke-100 dalam kariernya sebelum Terbuka Perancis bermula pada 25 Mei, selepas tersasar tipis di Miami.

Iga Swiatek berharap kepulangan ke permukaan kegemarannya mampu menghidupkan semula prestasi terbaiknya, manakala beberapa bakat muda yang menyerlah awal musim ini mahu terus mencipta impak di gelanggang tanah liat.

Persiapan pemain lelaki ke arah Terbuka Perancis bermula hujung minggu ini di Masters Monte Carlo, di mana Djokovic mengintai gelaran pertama sejak kali terakhir menjuarainya pada 2015.

Juara Grand Slam 24 kali itu belum memenangi sebarang kejohanan sejak Sukan Olimpik Paris dan persembahannya dipersoalkan selepas tersingkir mengejut kepada Matteo Berrettini dan Botic van de Zandschulp, susulan kecederaan yang memaksanya menarik diri di separuh akhir Terbuka Australia menentang Alexander Zverev.

Namun, pemain berusia 37 tahun itu menemui semula rentak di Miami dengan mara ke final tanpa tewas satu set pun sebelum dikecewakan Mensik.

“Miami benar-benar memberi saya kegembiraan dan keyakinan di dalam serta luar gelanggang,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Djokovic, yang sudah memenangi tiga gelaran Terbuka Perancis, juga berpeluang mencipta sejarah dengan merangkul kejuaraan Grand Slam ke-25 di Paris.

Iga melalui tempoh sukar selepas digantung akibat isu doping dan belum lagi mara ke final sejak menjuarai Roland Garros buat kali keempat tahun lalu.

Pemain Poland itu masih konsisten di peringkat akhir kejohanan, tetapi kehilangan aura dominasi yang pernah dimilikinya ketika bergelar pemain nombor satu dunia.

Aryna kini mengukuhkan kedudukannya di ranking teratas, tetapi Iga masih dianggap ‘Ratu Tanah Liat’ selepas mencipta sejarah dengan memenangi kejuaraan di Itali, Madrid, dan Roland Garros dalam satu musim.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan kekalahan ini,” kata Iga selepas tersingkir di suku akhir Miami kepada wildcard Filipina, Alexandra Eala.

“Saya lebih suka melihat ke hadapan dan gembira kerana kami akan bermain di tanah liat selepas ini.”

Pemain muda seperti Mensik, Alexandra, Mirra Andreeva dan Joao Fonseca terus mencuri tumpuan musim ini dan dijangka memberikan saingan sengit kepada bintang-bintang besar.

Mensik kini menembusi kelompok 25 pemain terbaik dunia selepas menewaskan Djokovic di Miami, manakala Mirra, 17, sudah pun menempatkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik wanita dengan kejayaan di Dubai dan Indian Wells.

Alexandra, bekas juara remaja Terbuka Amerika Syarikat (AS), mengejutkan ramai apabila mara ke separuh akhir Miami sebagai pemain wildcard, sementara Fonseca, 18, dari Brazil, meraih gelaran ATP dan semakin menghampiri kelompok 50 terbaik dunia.

Fonseca, Mensik dan Alexandra dijangka membuat penampilan sulung di Roland Garros, sementara Mirra sudah pun mencipta impak di Paris selepas mara ke separuh akhir tahun lalu.

Dua lagi bintang muda, Learner Tien dari AS dan Maya Joint dari Australia, turut mencuri tumpuan selepas menembusi kelompok 100 terbaik dunia pada usia 19 dan 18 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top